Bergema jeritan menusuk renumgan,
Bercahaya Jumaat penyeri pagi;
Irama tiupan bertepuk tangan,
Berjaya bersolat sehari lagi.
Alhamdulillah.....
"Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Imam Muslim)
Assalamu'alaikum......alhamdulillah sudah tiga hari kita berpuasa, kini Umi kembali dengan doa semoga Jumaat dan semua hari menjadi hari yang terbaik buat kita semua dengan izin Allah SWT.....amin.....jom berpantun bersama Ummi...^^
Malam Ramadhan malam tarawikh,
Mengatur 'ibadat mengabdi diri;
Salam tuan puan salam kekasih,
Syukur dan nikmat sehari lagi.
Bintang Marikh bintang kejauhan,
Dilihat kelam ditelan angkasa;
Datang TARAWIKH datang Ramadhan,
Solat malam sebulan puasa.
Bulat tasbih siap digenggam,
Serban kepala sampai sehasta;
Fadhilat tarawikh setiap malam,
Pengisian pahala perisai mata.
Ralat dan letih malasnya tidak,
Alhamdulillah tersenyum berzikir;
Bersolat tarawikh selepasnya Isyak,
Ditunailah ia sebelum berwitir.
Dada bernafas lelah Pak Saad,
Berkuat badan menggapai Subuh;
Tiada terbatas jumlah rakaat,
Dibuat lapan sampai dua puluh.
Tiada terbatas jumlah rakaat,
Dibuat lapan sampai dua puluh.
Kelat sireh dibuat ubat,
Tenat dan penat disengat kelulut;
Solat tarawikh solat yang sunat,
Sunat muaakad sangat dituntut.
Sunat muaakad sangat dituntut.
Bergema azan dilaungkan aulia,
Ruang jejari dibasahi wudhuk;
Cuma kedapatan di bulan yang mulia,
Peluang diberi pasti tawadduk.
Tadarus Quran di dalam pekan,
Dibaca Pak Saad baru nak faham;
Khusus hidupkan malam Ramadhan,
Dilaksana dua rakaat satu salam.
Sireh dijamah bersulam pinang,
Kelat gambir sebutir dimakan;
Tarawikh berjamaah dimalam tenang,
Bersolat witir diakhir kemudian.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)
Sampai musollah tiada muslimat,
Siap berazan Zohor dah masuk;
Andai tersalah pada maklumat,
Haraplah tuan tegur seteguk.
Haraplah tuan tegur seteguk.
Neraca Allah menimbang semua,
Neraca ditunggu berat dan ringan;
Dibaca Bismillah bergalang doa,
Dibaca berlagu buat renungan.
Salam manis buat pembaca budiman, insyaAllah kita bertemu lagi...^^
Selamat menunaikan puasa hari-hari buat semua, jangan lupa bersolat tarawikh ya... ^^
Kalam berpena....
Ummi’Ain