Bersudip-sudip seraya dimakan,
Berulam mengkudu berhiris timun ;
KELIP_KELIP CAHAYA RAMADHAN,
Salam syahdu secebis pantun.
Semoga semuanya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal buat menghadapi bulan puasa bulan Ramadhan yang yang akan tiba sekejap lagi......cahaya Ramadhan akan berkelip sebentar lagi, seiring kerlipan pantun Ummi....ya... ^^
Buat teman semua, hayatilah pantun Ummi...jom kita berpantun....
Berjalan si angsa jalan menyudu,
Ke paya berenang sudah se pagi;
Bulan puasa bulan dirindu,
Cahayanya datang menyimbah lagi.
Dahan bersilang berasap unggun,
Tikar dicucuh sudahlah hitam;
Ramadhan berulang setiap tahun,
Sinar penyuluh ibadah malam.
Runtun alam di ufuk mega,
Meredah masa menanti Maghrib;
Rukun Islam duduk ketiga,
Ibadah puasa mesti dan wajib .
Dititip badan terasa-rasa,
Bertanda se ela merekah sudah;
Berkelip Ramadhan bermula puasa,
Berganda pahala baraqah ibadah.
Terasa ditelan merah digigit,
Termakan asam diteran-teran;
Puasa sebulan mengimmarah masjid,
Hidupkan malam bertadarrus Quran.
Berasap lada dibelah-belah,
Beras dimasak pekat dan kembang;
Mengharap redha maghfirah Allah,
Keras telapak menongkat sembahyang.
Azan aulia sungguh terasa,
Melangkah menyisip indah bergema;
Ramadhan mulia meruntuh dosa,
Baraqah menitip ibadah maksima.
Tinggi mempalas terlebih pula,
Dahan sebatang naik di tepi;
Selagi nafas masih berhela,
Ramadhan yang datang baik hargai.
Selat berbuih bahtera berpasir,
Pak Mat meredah menghala lautan;
Solat tarawikh dan juga witir,
Nikmat ibadah pahala kedapatan.
Rimba sunyi seberang Pasai,
Sampai marhalah berkira-kira,
Laluan serumpun si orang Jawa;
Hamba ini terkurang pandai,
Andai salah bicara-bicara,
Ribuan ampun di sarang jiwa.
Dalam setahun cuma sekali,
Manakan setaraf bulan yang lain;
Salam berpantun lama kembali,
Mohonkan maaf kesilapan kelmarin.
Baiklah rakan-rakanku sekelian...sampai di sini dahulu Ummi merangkap pantun, disebabkan kesilapan teknikal, Ummi hampir terpadam komen dari seorang sahabat Ummi yang setia, rajin dan selalu datang menyampaikan pantun beliau yang indah-indah....walau pun ada kesilapan tertentu....Ummi amat berterimakasih kepada beliau kerana beliau merupakan salah seorang orang yang pertama datang berpantun di setiap kotak komen pada entri kali ini...sekalung terimakasih buat beliau....^^
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa buat semua rakan-rakan Ummi yang membaca pantun ini ya....mata pun dah kelat, tengah menonton solat Tarawikh 'live' dari Mekah Al Mukarramah di tv sambil menunggu waktu bersahur......Sampai jumpa lagi......insyaAllah....salam manis dan salam sayang dari Ummi... ^^
Kalam berpena...
Ummi’Ain