Assalamu'alaikum.....
Sulam bertongkah kebaya Kelantan,
Bersulam kasa bersama baldu,
Baldu berwarna merahnya saga;
Salam baraqah cahaya Ramadhan,
Dalam berpuasa purnama merindu,
Merindu pesona indahnya Syurga.
Salam Ramadhan dalam cahaya yang masih berkelip, salam hormat buat pembaca@pemantun budiman semoga anda semua berpuasa dalam kesihatan yang cantik dan sentiasa meimmarah peluang dalam menggapai maghfirah Allah SWT.....amin. Selagi masih ada hari-hari dalam bulan Ramadhan, terimalah pantun Ummi dengan tema DALAM BERPUASA pula ya....insyaAllah sama-sama kita membaca dan berpantun..
Berselam angsa mencari ikan,
Tempuh rakit jangan terjerat;
Dalam berpuasa diri tahankan,
Sembuh penyakit ringan dan berat.
Lenguh rasa lelah dan penat,
Telon dan param dipupuk juga;
Sungguh berpuasa adalah ibadat,
Rukun Islam duduk yang ketiga.
Rekah dahan belum dikerat,
Hidup kelulut mencari tempat;
Tahan makan minum dan maksiat,
Menutup mulut dari mengumpat.
Dosa banyak kerana dosa,
Dosa menipu maksiat dan noda;
Musuh pahala sudahlah tentu;
Puasa banyak makna berpuasa,
Puasa fardhu sunat dan qadha',
Sungguh yang aula adalah yang fardhu.
Solat Zohor tak pernah pergi,
Liat mengaji malasnya dia;
Sunat bersahur Sunnahnya Nabi,
Berniat di hati lafaznya doa..
Di tempat biasa menjala terubuk,
Ikan talapia menelan berudu;
Umat berpuasa rela dan tawadduk,
Bukan fantasia berbulan madu.
Menghala laluan pingitan desa,
Kelam Selasa biasa berlampu;
Mula pengisian pertaubatan dosa,
Dalam berpuasa perkasa yang fardhu.
Malam Selasa mengejar bebiri,
Terlepas bebiri tertinggal susu;
Dalam berpuasa mengajar diri,
Ikhlas memberi mengawal nafsu.
Keluar bercelana ke kota seberang,
Pagi bonda bertandang ke musollah;
Biar sederhana di mata orang,
Tinggi pada pandangan Allah.
Pandai menari tersenyumlah cantik,
Cantik disebut seorang puteri;
Seandai diri belumlah baik,
Baiklah direbut peluang diberi.
Asah parang di batu kelikir,
Seraya duduk mengambil rebung;
Susah orang tentu berfikir,
Percaya dan tawadduk sambil merenung.
Insaf hatta berubah sendiri,
Dimalam Selasa sedia bersedekah,
Sedekah jariah semahu-mahu;
I'tikaf serta muhasabah diri,
Dalam berpuasa rahsia menongkah;
Rahsia Allah siapa yang tahu.
Kalau lebat papaya bidara,
Mengapa delima dikata merimbun;
Kalau dapat saya bersuara,
Jumpa bersama kita berpantun.
Di dalam rukun ada berpuasa,
Tersingkap Ramadhan di Subuh hari,
Sampai Maghrib perkasa solat;
Bersulam pantun bernada rasa,
Mengharap kemaafan sepuluh jari,
Seandai tersisip bahasa kelat.
Oleh kerana kita di dalam bulan mengimmarah diri bulan Ramadhan, maka pantun Ummi adalah kesinambungan pantun yang lalu.....harap sahabat sekelian suka membaca pantun Ummi yang tiada seberapa ini sambil merangkap pantun....Sampai di sini dahulu ya Ummi mengundurkan diri dengan harapan seandainya ada kesilapan bahasa maaf jua Ummi harapkan....sampai kembali lagi salam manis salam Ramadhan paling ikhlas semoga kita diberikan rahmat dan barakah dibulan yang mulia bulan 'ibadah..... ^^
p/s Sudi-sudikan berpantun, berpantun berpantun juga solat fardhu jangan lupa ya ^^
Kalam berpena....
Ummi’Ain