Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all 117 articles
Browse latest View live

Pantun Tahun Baru...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Jom Kita Berpantun...


Terlekat banir pepohon tinggi,
Mendayung perahu menolak rumpai;
Saat berakhir setahun pergi,
Lembayung baru menyelak tirai.

Sedondon biru indah dipakai,
Cantik dan ranggi Puteri Santubong;
Tahun baru sudah mengintai,
Detik pergi memori bersambung.

Alun menderu membungkam ombak,
Tenggelam pulau pecah berdentum;
Tahun baru azam dirombak,
Azam yang lampau tunaikah belum.

Hilir pantai bawal menghala,
Embun pagi pecah di batu;
Akhir sampai awal bermula,
Setahun lagi masihkah tentu.

Tasik biru muara menderu,
Pukat meniti obor gergasi;
Detik baru perkara baru,
Tingkat kualiti subur prestasi.

Banir pohon mangkal serumpun,
Jejak gua gamat kelawar;
Diakhir tahun diawal tahun,
Merafak doa rahmat penawar.

Lembut berangan tumbuhnya subur,
Subur lepas sirih bergagang;
Sambut dengan penuh bersyukur,
Syukur nafas masih berpegang.

Bangku biru kayu gaharu,
Ketar tangan duduk bersama;
Buku baru baju pun baru,
Belajar jangan di takuk lama.

Kalau menjala hanya cencaru,
Sayang gelama mati terapung;
Walau segala nampaknya baru,
Yang lama tetap menjadi sanjung.

Adun tairu tertelan-telan,
Perah kelapa belah bergoyang;
Tahun baru dua belas bulan,
Anugerah masa Allah Penyayang.

Rasa melayang riang rerama,
Segar kudup kelopaknya tirus;
Perkasa sembahyang tiang agama,
Agar hidup tidak menjurus.

Rendang lokan masak belukang,
Kari berkunyit bendinya genting;
Pandang depan tidak ke belakang,
Memori pahit menjadi benteng.

Pusara laman bolos digembur,
Tulang belulang dingin dijamah;
Negara aman telus dan makmur,
Remaja dijulang pemangkin ummah.

Pakai tiara manik berlian,
Tersebutlah puteri rajin tadarrus;
Andai bicara mengusikmu tuan,
Jemputlah beri komen yang telus.

Berasap-asap jerami bertali,
Sekam padi bawa jaringan;
Harap-harap Ummi kembali,
Ku genggam budi di dalam tangan.




Buat teman dan rakan bloggers samada yang suka berpantun dan vice versa atau silent readers, selamat meyambut Tahun Baru 2014 dari Ummi sekeluarga semoga di tahun baru ini kita saling kunjung mengunjung, lebihkan senyum, utuh persahabatan yang terjalin walau di mata tiada namun di hati tetap bagai air yang jernih mengalir tiada putus-putus.......perkasa kualiti entri dan cantikkan diri dengan iman dan ilmu.....agar hidup bahagia dunia dan akhirat......amin

Salam kasih mesra sampai jumpa lagi dengan entri yang lebih constructive dan rajin-rajin berpantun....ya... jangan marah naaa.... ^^





Perlahan-lahan turun memburu,
Bekal dijamah tebu segelas;
Ahlan Wasahlan tahun yang baru,
Ma'asalamah dua ribu tiga belas.



Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Kembar Dua Enam Kerat Hari Jumaat....

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ







Saat purnama meminjam senja,
Teduh bumi bercampur sepi,
Berlalu mentari mendung menjamah;
Jumaat pertama kelam sahaja,
Sungguh Ummi syukur Ya Rabbi,
Penghulu hari terkandung hikmah.

Cuaca pagi mengarah angin,
Mentari naik halakan muara,
Angkut tanah batulah derai;
Dibaca AlKahfi dan Surah Yasin,
Hari yang baik mulakan perkara,
Ikut Sunnah tentulah sampai.


Terimalah pantun dua rangkap enam kerat istimewa buat tatapan semua....pantun ringkas mempunyai maksud untuk kita renungi bersama kerana Jumaat datang setiap minggu.... 
Sesungguhnya dalam Jumaat terkandung seribu macam perkara kebaikan dan peristiwa yang kita semua harus memberi perhatian..... pantun Ummi kali ini sengaja dirangkapkan berkembar dua dan Ummi harap jemputlah semua berpantun dalam olahan tersendiri... tambah informasi.... kesinambungan..... Ummi gembira dan terimakasih selebar cahaya Sang Suria.... Alhamdulillah.... ^____^

Sampai kembali lagi in the next chapter insyaAllah....assalamu'alaikum.



p/s  Selamat menjalani 'ibadah solat Jumaat... ^^


Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Sangka-sangka....

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ







Jom sama-sama kita berpantun......^^

Julur mempelam berkait daun,
Daun nangka rendah di batang;
Ku hulur salam bait berpantun,
Pantun Sangka-sangka sudah datang.

Terang benderang sangkar dibuka,
Naik merbuk menyambar tali;
Orang sekarang gemar bersangka,
Baik buruk kembar sekali.

Tegap rangka tulang berusia,
Lebar selangka di kanan bahu;
Sikap bersangka menghalang manusia,
Gemar bersangka manakan tahu.

Terbuka butang baju berbulu,
Satin indah terbuka koyak;
Bersangka datang selalu melulu,
Rajin beribadah disangka riak.

Sesah pahat di segi bata,
Mengah memahat dahan mempalas;
Usah melihat membabi buta,
Tengah berehat disangkakan malas.

Sampai senja di dalam sampan;
Muka garang PakNdak menangguk;
Pakai kemeja hensem dan tampan,
Disangka orang hendak menunjuk.

Rambai jeruk sibuah mangga,
Bukan sembarang masin bergula;
Pakaian buruk begitulah juga,
Disangkakan orang miskin pula.

Tamar dan cuka saranan Sunnah,
Sapukan minyak jika mustajab;
Gemar bersangka kenan fitnah,
Makan banyak disangka pelahap.

Lalu camar tingkap dibuka,
Hutan bukit ada sederet;
Terlalu gemar sikap bersangka,
Makan sedikit disangka diet.

Kalau harum nangka dipetik,
Nangka ditanam buahnya busuk;
Kalau senyum disangkanya mengejek,
Bermuka masam disangkalah merajuk.

Kuah rendang buka ketupat,
Rendang ayam berkuah kari;
Tengah berbincang disangka mengumpat,
Orang pendiam dikatalah menyendiri.

Lalu camar kudup terbuka,
Dihalau nyonya burungnya merbuk;
Selalu gemar hidup bersangka,
Kalau bertanya disangkanya penyibuk.

Kerisek lada masakan tauhu,
Menanti lada makan berjeruk;
Asyik bersangka manakan tahu,
Pasti ada kebaikan tersorok.

Kuntum markisa pesona merekah,
Asam gelugor dimakan rusa;
Senyum sentiasa kerana sedekah.
Yang masam luhur mengenangkan dosa.

Dayang bertocang membeli ketupat,
Anyam sendiri rajin dan mahir;
Yang berbincang memberi pendapat,
Berdiam diri mungkin berzikir.

Petik cendawan makan berlada,
Makan tauhu lebih masaknya;
Cantik menawan bukan penggoda,
Manakan tahu bersih wataknya.

Peria petola belengas pangkalnya,
Nangka si nyonya makin menjadi;
Ceria pula cerdas akalnya,
Suka bertanya perihatin berbudi.

Kalau mentimun retak dipetik,
Campurlah halba dengan hiasan;
Kalau pantun tidaklah cantik,
Tegurlah hamba dengan keikhlasan.

Pohon rimba rimbun bertapis,
Pacat dan sela melekap daun;
Pantun hamba daun yang nipis,
Cacat dan cela harap diampun.




Justeru itu.....

Sesuatu perkara yang kita lihat jangan suka sangka-sangka kerana...sikap sangka-sangka akan memusnahkan jiwa.....kerap sangka-sangka mengundang padah dan buruk akibatnya.... oleh itu jangan terlalu bersangka-sangka dengan orang kerana mungkin sangkaan kita salah dan disebalik sangka-sangka itu mungkin terkandung 1001 kebaikan.

Jauhilah sikap sangka-sangka...hidup pun akan lancar dan bahagia selalu... ^^



"يأيها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم.."
"Wahai orang2 yg beriman jauhilah kamu semua kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.."
(AlHujurat:12)




p/s Ilham bersangka-sangka adalah dari sumber Facebook adik Ummi dan Ummi olahkan menjadi bentuk pantun versi Ummi yang tersendiri, jangan maghah naaa.... ^^



Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Ummi Ada Lagu 2

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ






Salam manis salam semesra-mesranya.....episod kali ini Ummi tampilkan selembar pantun berbentuk tajuk lagu-lagu yang Ummi pilih sendiri untuk Ummi jadikan pantun, bukan meniru bukannya apa, bukan pula ketandusan idea..... haha, cuma untuk membawa mood kelainan dan untuk hiburan semata.... buat pemantun dan silent readers atau pembaca senyap sekelian, perah-perahlah minda anda untuk berpantun bersama Ummi kerana Ummi pasti tentu ada pemantun yang lebih bijak dan pandai berpantun yang indah-indah....sambil berpantun kita menikmati lagu-lagu halwa telinga.....ya ^^

Jom semua kita berpantun..... ^^




Tenggelam muara tenggelam perdu,
Mengkudu perdunya retak bertahun;
Salam Mesra bersulam rindu,
Rindu Serindu-rindunya hendak berpantun.

Tangan memalu kompang melagu,
Hendak berJoget Kenangan Manis,
Jangan selalu menompang dagu,
Kelak sakit jangan menangis.

Patah selayang dimakan badak,
Tangkai dibelit di hulu timba;
Entah sayang entahkan hendak,
Bagai dililit Semalu Rimba.

Stokin dibaling bawa dibasuh,
Benang memeri koyak sebelah;
Tak Mungkin Berpaling jiwa ku ampuh,
Terkenang diri yang banyak salah.

Bonda Sukaseh janda permata,
Manis berselendang berpegang tangan;
Gerimis Mengundang di persimpangan.

Siat melati berkelopak basah,
Semarah angin bergalang tinggi;

Kalau melilit dahan yang tua,
Lilit dahan melapis banirnya;
Walau Pahit Ku Telan Jua,

Retak belulang mata terkena,
Mata sebelah kabur melihat;
Tak Hilang Cinta Di Dunia fana,
Cinta Allah subur terpahat.

Beluga setimba betutu ditatang,
Tilan jua di lubok puaka;
Hingga Tiba Saat Itu datang,
Amalan dibawa tembok neraka.

Rumpai tenggelam kuini tumbuh,
Rangka gelama persis si keli;
Tirai Semalam kini berlabuh,
Turun ke mana sajak berbatik,
Pakai bauan di badan suami; 
Pantun sederhana tidaklah cantik,
Andai tuan Maafkan Kami.

Amat mangkal selasih lebat,
Tahan senduduk bersisir tali,
Mati mengkudu tali dipilin;
Selamat Tinggal Kekasih sahabat,
Bukan Untuk Terakhir kali,
Pasti rindu Kembali Terjalin.



p/s  Kalau membaca pantun sudi-sudikanlah petik jari anda ke lagu-lagu yang terjalin...terimakasih. . ^^


Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Sekilas Ikan Di Air....

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Salam sejernih air berkilau embun, salam berpantun dari Ummi dengan tunas doa semoga sahabat sekelian sentiasa di dalam limpahan kasih sayang Allah SWT dan sentiasa dijauhkan dari keburukan......amin.

Entri Ummi pada kali ini adalah tentang hati kerana hati memainkan peranan paling penting dalam kehidupan seharian......hati berbunga ada kemanisan dan keharuman, hati yang gelap akan ada berhala hitam yang tumbuh di dalam....Ummi pasti anda semua faham apa yang Ummi ingin sampaikan dalam bentuk pantun versi Ummi....


Jom Kita Berpantun...

setidak-tidaknya sudi membaca bait rangkap yang amat sederhana ini...ya ^^



Kerdas dimakan bibir pun letih,
Harum tauhu santan diguna;
Sekilas Ikan Di Air jernih,
Belum ku tahu jantan betina.

Kalau silat bawa berpencak,
Patah kaki turun melawan;
Walau dilihat lawa dan kacak,
Entah lelaki ataupun perempuan.

Gendang kugiran kulit belulang,
Gegar tergolek dipaku kaca;
Pandang luaran sedikit terhalang,
Sukar ditilik dapat ku baca.

Limau dimakan selepas kundang,
Buah markisa pautan rona;
Walau ikan sekilas pandang,
Dapatkah rasa jantan betina.

Mencari angsa di hutan ulu,
Pagar tua di sebelah sana;
Peribahasa kiasan dahulu,
Benar petua mengolah suasana.

Balam ketitir di sangkar hampir,
Termakan sela mati di sarang;
Dalam air sukar ditafsir,
Inikan pula hatinya orang.

Petunia kembang di inderaloka,
Mimpi bercinta mengadap puteri;
Manusia memang suka berteka,
Membabi buta serkap dicari.

Sesah tempurung merekah satu,
Tentu isi melepak dan lemak;
Usah cenderung telingkah sesuatu,
Sesuatu terjadi hendaklah disemak.

Kuat ampaian bertindan besi,
Dawai rendah naik terlebih;
Membuat andaian dan spekulasi,
Nilai mujahadah baik dan jernih.

Pucuk dicita beralas kundang,
Harumlah mahu nasi berulam;
Tunjuk mata sekilas pandang,
Belumlah tahu isi di dalam.



Setiap perkara itu belumlah jelas selagi tidak memandang dan disiasat terlebih dahulu....baiklah sahabat, setakat ini dahulu masa terlalu cemburu......sampai terbuka lain lembaran, pasti Ummi kembali lagi.....
Salam sayang lemak manis dari Ummi sendiri..... ^^



Patah galah takkan berguna,
Belah buluh lentuk sejajar;
Entah salah entahkan kena,
Silalah asuh menunjuk ajar.

Tumbuk-tumbuk sicabai maun,
Makan berulam kerdas yang kecur;
 Sibuk ku sibuk merampai pantun,
Akan ku sulam di kertas A Four.




Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Selawat Junjungan...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ








Lada dilumat garam berserbuk;
Garam dicampur di dalam kari;
Kepada umat Islam seluruh pelusok,
Salam Maulidur Rasul haruman kasturi.
 
Marilah kita berselawat ke atas Nabi Muhammad Sollahu'alai hi wassalam....

Ya Nabi Salam 'Alaika,
Ya Rasul Salam 'Alaika.
Solawatullah'Alaika...

Marhalah bermula menuju penamat,
Telah tahu sampainya malam;
Sollallahu'ala Muhammad,
Sollallahu'alaiwassalam.

Usia bercantum masih menyerlah,
Gaya siapa sanggul belahan;
Manusia maksum Kekasih Allah,
Ya Mustaffa Rasul Pilihan.

Zahirnya ringan seketul halia,
Beringin mempalas bawa berjual;
Lahirnya Junjungan Rasul mulia,
Isnin dua belas Rabi'ulawal.

Tinggi berangan tumbuh perkasa,
Buah dicapai galah bergoyah;
Nabi Junjungan sungguh berjasa,
Dakwah disampai berlelah payah.

Rawat lelah bernafas penat,
Rawat sejam dukun Tok Saad;
Selawat Allah ke atas Muhammad,
Selawat salam dipohon syafaat.

Pantai Krabi malam bertemu,
Kumpul pelampung letih dan lelah;
Wahai Nabi salam atas mu,
Rasul teragung Kekasih Allah.

Manusia termaktub aulia pesona,
Bergalang jiwa membawa solat;
Rahsia hidup mulia di dunia fana,
Dijulang dipuja imam dua kiblat.

Pulau digenangi selisih laluan,
Sijenjang berendam merata pengkalan;
Engkau dipayungi seputih awan,
Sepanjang malam unta berjalan.

Melayang cembul pecah ke tanah,
Berat guri cumalah batu;
Sayang Rasul sayanglah Sunnah,
Syafaat diberi terimalah tentu.

Bertelur tembakul gelama mati,
Jelawat di tangan bermata longgar;
Maulidur Rasul bersama hayati,
Selawat Junjungan kita perdengar.

Lecur tunggul akar melurus,
Payah ditegak dahan yang lemah;
Maulidur Rasul mekar diutus,
"WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH"
 
Benih mentimun pucuk mempelam,
Terang kesidang meniti rumbia;
Sejernih embun sesejuk kolam,
Orang memandang pasti bahagia.

Memukat jelawat berazan Maghrib,
Terlepas tembakul melenting kaloi;
Malaikat berselawat hormat dan tertib,
Ke atas Rasul sering merindui.

Talapia menyelit salah perahu,
Jerut haruan pari terlekat;
Rahsia sulit Allah Yang Tahu,
Penyahut Seruan Pemberi Rahmat.

Kelubi kelat tumbuh sebulan,
Mencari kulat tepi terusan;
Nabi Muhammad penyuluh jalan,
Pemberi syafa'at hari pembalasan.

Kawat ditetas tanaman halia,
Tanam bijian ranting bertemu;
Selawat ke atas junjungan mulia,
Salam pujian seiring doamu.

Justeru, wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah S.W.A dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya dalam pembangunan manusia global. Maulidur Rasul juga merupakan detiknya bagi umat Islam untuk memperingati semula sejarah Rasulullah S.A.W. dan lantas menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah ikon ummah yang terbaik....Wallahu'alam bissawab



Sambar mentimun tupai menyembang,
Pohon durian merbah beradu;
Selembar pantun andai tersumbang,
Mohon tuan tambah sesudu.



p/s sampai jumpa lagi insyaAllah... ^^



Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Harap...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Salam merindu yang teramat sangat dan salam semesra-mesranya dari Ummi buat teman-teman yang Ummi rindukan selalu.....semoga sahabat sekelian sentiasa di dalam cahaya kasih sayang Allah setiap detik.....amin

Pada episod pantun kali ini Ummi lampirkan tema ringkas tetapi padat dan bercabang-cabang.....
Kepada sahabat pemantun dan silent reader, silalah berpantun mengikut stail anda tersendiri mengikut tema HARAP, boleh di rangkai menjadi perkataan berimbuhan seperti MENGHARAP, HARAP-HARAP, DIHARAPKAN, HARAPAN dan seterusnya ya....

Menurut pakar pantun, di dalam merangkap pantun yang berdasarkan tema yang specific, kita boleh merungkai perkataan dengan menambahkan imbuhan lalu menjadi makna yang pelbagai, apa kata kita cuba ya......kali ini Ummi membawa sedikit kelainan....

Ummi pasti ada pemantun-pemantun di luar sana yang jauhari dan bestari yang pandai mengarang pantun.....teruskan cabaran ini dengan memerah minda anda....ya....

Baiklah semua, janagn malas-malas dan segan-segan, malu apatah lagi....jom kita berpantun.... ^^




Tuala melayang disambar unggun,
Rumpun berasap suami bakarkan,
Bermula dilayang selembar pantun;
Pantun HARAP Ummi lembarkan.

Jangan dicampur paku dan kapas,
Bunyi berderap tidakkan sama;
Tangan dihulur salam ku lepas,
Menanti MENGHARAP akan bersama.

Buaya seberang kerap selisih,
Laluan ke mana si ikan selangat;
Saya seorang MENGHARAP kasih,
Tuan di sana entahkan ingat.

Kebaya lama kalau dipinda,
Serap bauan basah dan sejuk;
Saya cuma bergurau senda,
HARAP tuan usah merajuk.

Sampan goyah melambung tinggi,
Menyula taufan selisih pelepah;
HARAPAN ayah menggunung tinggi,
Rela berkorban kasih tertumpah.

Keliling paya di tepi telaga,
Papan berpagar rentangkan teduh;
Saling percaya resepi rumahtangga,
HARAPAN agar dipanjangkan jodoh.

HARAPkan cawan lama di mulut,
Mulut teriak nyaring berbunyi;
HARAPkan kawan umpama selimut,
Selimut koyak gunting sembunyi.

Batang delima sokongan kelapa,
Tangkai mempelam pagarnya titi;
Hutang lama HARAP tak lupa,
Pandai pinjam bayarnya mesti.

Pagar papan ada terbelah,
Turun tempua hinggap di situ;
Sandar HARAPAN kepada Allah,
Sepohon doa setiap waktu.

Sirap kelapa ada papaya,
Kelapa muda isi pun nipis;
DiHARAP apa kepada saya,
Rupa tiada budi pun setitis.

Jerang air ada berhalia,
Lama berasap alasnya arang;
 Orang fakir tiada berdaya,
Cuma mengHARAP belasnya orang.

HARAPkan bumi menjadi sejuk,
Rupanya bumi tidak bersuhu;
HARAPkan suami menjadi pemujuk,
Mengapa suami buat tak tahu.

Kedut seribu benang berpisah,
Sulaman siap bercantum tali;
Disudut kalbu mengenang kisah,
Teman diHARAP belum kembali.

Pantai besar sasa bahtera,
Kerap basah hasil dapati;
Andai terkasar bahasa bicara,
HARAP usah berkecil hati.

Kalau ada batu dibuang,
Berderap-derap gua yang tinggi;
Kalau ada waktu terluang,
HARAP-HARAP bersua lagi.


Sebenarnya ada banyak lagi pantun yang boleh kita karang mengikut tema yang Ummi berikan, namun cukuplah buat setakat ini......Ummi pasti akan gembira seandainya anda memberi komen dengan cara berpantun....cuba ya....komen anda semua pencetus semangat Ummi untuk terus berkarya.....

Sampai di sini dahulu semoga kita berjumpa lagi dalam masa yang terdekat ini...insyaAllah....
Salam kasih berkembar rindu dari Ummi buat anda sekelian....... ^^



 Merendam sekerap getah yang lama,
Sekerap ditatang melantun-lantun;
Dalam MENGHARAP sepatah tema,
DIHARAP tuan datang berpantun.



Kalam berpena.....
UmmiAin

Pantun Tegur...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Assalamu'alaikum secangkir madu menggalas rindu..... padamu tuan puan, sahabat-sahabat yang Ummi hormati lagi disayangi, yang sangat rajin datang singgah dan sentiasa tidak jemu-jemu datang berpantun di pondok Ummi yang sederhana ini terutama En Bin Muhammad dan Cikgu Teh..... pantun mereka ini sungguh indah dan cantik, sentiasa terbuku dalam kamus microsoft Ummi...........

Baiklah.....Ummi garapkan pantun berimbuhan bertemakan TEGUR.....seperti yang Ummi jelaskan dalam entri yang lepas, kali ini mari kita mengarang pantun bertemakan TEGUR dan menambahkan imbuhan menjadi DITEGUR, MENEGUR, TEGURAN dan sebagainya ya....

Jom kita berpantun bersama.......



Pelam terjulur pelam yang harum,
Daun bertabur digoyah tangan;
Salam ku hulur bersulam senyum,
Pantun TEGUR meriah di ruangan.

Kecur gelugur lama di dahan,
Sarat buah menyembah bumi;
TEGUR-MENEGUR sesama insan,
Erat ukhwah tambah bersemi.

Tadah anggur delima dan kundang,
Kelapa pandan jejak ke muara;
Sudah ku TEGUR lama ku pandang,
Mengapa tuan tidak bersuara.

Ringan sarang telurnya kurang,
Melingkar senduk di bawah aras;
Jangan sebarang MENEGURnya orang,
Kembar pelanduk wajah seiras.

Kalau sauh menampung haluan,
Haluan ke timur dimalam sepi;
Walau jauh ku teropong tuan,
Tuan ku TEGUR di dalam mimpi.

Ringan sarang telurnya kurang,
Melingkar senduk di bawah aras;
Jangan sebarang MENEGURnya orang,
Kembar pelanduk wajah seiras.

Joran dan bubu masih diuji,
Di tempat keruh ada belanak;
TEGURAN ibu seputih salji,
Dapat membasuh dosa si anak.

Serlah melati putih melawa,
Seri subur jambangan seranting;
Bukalah hati jernih dijiwa,
Diri DITEGUR jangan melenting.

Gelugor merah lecur sebelah,
Diangkut sepeti ke hujung desa;
DITEGUR marah tak TEGUR salah,
Takut nanti menanggung dosa.

Joran dan bubu menanti sambar,
Rumbia tua terlekat berat;
TEGURAN ibu mesti didengar,
Bahagia dunia selamat di akhirat.

Joran dan bubu masih diuji,
Di tempat keruh ada belanak;
TEGURAN ibu seputih salji,
Dapat membasuh dosa si anak.

Bersilau terang bumi berunggun,
Asap menghambur api membalas;
Kalau terkurang Ummi berpantun,
Harap DITEGUR hati yang ikhlas.


Sampai di sini dahulu Ummi menemui tuan puan dan sahabat pemantun.....insyaAllah di lain masa dan ketika dengan tema yang lain pula........salam sayang sedikit-sedikit namun di hati tetap terjahit..... ^^


Sekali bumi melipat awan,
Takkan redup Lautan Mati;
Sekali Ummi mendapat kawan,
Akan termaktub disudut hati.

Sekali suami menghala kebun,
Bersepatu Jepun tumitnya melecet;
Sekali Ummi mula berpantun,
Akan ku pantun hingga bercicit...hehe




Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Lama...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ






Salam kemesraan salam merindu sejuta saat buat teman-teman Ummi tersayang lagi dingati dan dihormati semoga anda semua sentiasa memperolehi kesihatan terbaik dalam menjalani liku-liku kehidupan yang penuh cabaran.....amin...apakhabar Cikgu Teh dan En BM.... ^^

Lamanya hati untuk kembali mengungkap rasa untuk berpantun di teratak Ummi yang sederhana ini....
Berapa lama lagi rasanya Ummi untuk berada di halaman tersayang ini....rasanya selagi jari ini masih bertenaga dan paling tidak dapat membaca pantun-pantun teman-teman sekelian......alhamdulillah.....aduhhh....macam...

Baiklah....usah diusik rasa dengan nada bicara Ummi, Ummi hanya bergurau kerana sudah lama tidak merangkap pantun yang baru....namun pada kali ini Ummi ingin mengabadikan tema berpantun bertajuk LAMA...as stated before....LAMA boleh diimbuhkan menjadi BERLAMA-LAMAAN, LAMA-KELAMAAN, SELAMA-LAMA....dan sebagainya terpulang kepada perkataan mana yang dipilih untuk penggunaan dalam baris maksud, bukan pembayangnya ya...... ^^

Apa ditunggu lagi, jomlaaa kita berpantun..ya ^^



Kereta canggih demi negara,
Proton Estima baru dan menawan;
Tercipta kasih Ummi bersuara;
Pantun LAMA menunggu tuan...

Redup hawa bawa purnama,
Tinggi purnama tinggilah bayang;
Hidup berdua tua bersama,
Lagi LAMA lagilah sayang.

Kereta Estima basah bergenang,
Sedikit berjalan habis ke depan;
Cerita LAMA usah dikenang,
Pahit ditelan manis disimpan.

Delima bukan sebarang delima,
Delima sedap bijian seribu;
LAMA bukan sebarang LAMA,
LAMA tetap pujaan hatiku.

Pandai menari Benggal dan samrah,
Gema irama zapin dan salsa,
Andai diri tegal dan pasrah,
LAMA-KELAMAAN semakin biasa.

Hapak bawang bersarang hama,
Hairan busuk hanya sebiji;
Hendak dibuang barang yang LAMA,
Quran buruk jasanya mengaji.

Serlah unggu si rama-rama,
Mati kempis sayapnya lecur;
Janganlah ditunggu LAMA-LAMA,
Nanti menangis harapnya hancur.

Delima madu bertemu jarang,
Tangkai bertompok ada di taman ;
LAMA merindu kamu seorang,
Bagai pungguk tiada berteman.

Kerabu diambil hendak seloyang,
Terasa ketumbar makan bersama;
Ibu memanggil anak tesayang,
Berdosa besar dibiarkan LAMA...

Purnama redup embun bertemu,
Purnama tersipu pungguk merasa;
LAMA hidup bertimbun ilmu,
LAMA menipu berlonggok dosa...



Teruskan dengan mencipta pantun bertemakan LAMA..... Anda pasti bolehkan..... ^^
Baiklah sahabat-sahabat budiman, sampai jumpa lagi dengan tema yang lain......salam rindu masa cemburu, berderai selasih terlerai kasih......terimakasih... ^^



Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Datang...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Salam merindu semesra alam, salam ku sampai buat teman-teman, apakah gerangan sudah dilupakan... atau rajuk yang berpanjangan...Ummi muncul ketika masa terlalu cemburu dan kesibukan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi buat keluarga tercinta yang baharu sahaja kehilangan  tiga orang tersayang dalam keluarga sebelah suami......semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh mereka-mereka yang telah pergi.....aamiin...

Sebelum diteruskan, doa Ummi semoga sekelian sahabat sentiasa di dalam limpahan kasih sayang Alah SWT.....aamiin....sudah agak berminggu juga Ummi tidak muncul mengemaskinikan teratak Ummi buat seketika....namun hati dan jiwa adalah 100% kecintaan ku kepada pantun...baiklah... ^^

Sepertimana tema Ummi yang telah lalu, Ummi garapkan tema DATANG yang mana boleh ditokok tambah imbuhan menjadi PENDATANG, MENDATANG, DATANGI, DATANGKAN, KEDATANGAN dan sebagainya yang relevan..... makna ataupun maksud yang berlainan..... 

Seterusnya Ummi mengharapkan kunjungan dari rakan-rakan setia Ummi kerana tanpa anda siapalah Ummi, dan setiap komen dan pantun anda adalah pencetus semangat Ummi untuk terus berkarya......Alhamdulillah... ^^

Sekarang terimalah selembar pantun dariku yang sekadarnya....




Tenggelam muara gelemat petang,
Kabut di awan mula meruntun;
Salam semesra selamat DATANG,
Jemput tuan sila berpantun ...

Tuba gelama medak di muara,
Terang petang disangka meruntun;
Hamba lama tidak bermesra,
Sekarang DATANG membuka pantun.

Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya Cik Siti butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Saya pasti DATANG kemari.

Harum temili gula sesudu,
Makan tumpi dan pisang embun;
Sebelum kembali bermula rindu,
Izinkan Ummi DATANG berpantun..

Kontang bumi membias toman,
Lalang kering menyelak gua;
DATANG Ummi berhias senyuman,
Pulang beriring gelak ketawa.

Sejadah dibentang hendak sembahyang,
Dibentang siapa tepi beringin;
Sudah DATANG sebak dan sayang,
DATANG menyapa disepi Isnin..

Menyula merah pelangi lawa,
Semarhalah ufuk seakan kembar;
Pabila amarah MENDATANGI jiwa,
Segeralah berwudhuk banyakkan istighfar.

Jala diguna merentang laut,
Ikan menyambar sekoyan kelah;
Bala bencana DATANG berpaut,
Banyakkan bersabar ujian Allah.

Berseri bintang hanya setempat,
Gemerlap cantik bersulam lawa;
Hari MENDATANG perginya cepat,
Setiap detik merakam peristiwa.

Purnama indah menjejak pungguk,
Syahdu mula terbahagi dua;
Lama sudah tidak menangguk,
Rindu pula MENDATANGI jiwa..

Kelah dimakan jenahak sasa,
Di batang pancing sirip melekit;
Telah disarankan pihak berkuasa,
PENDATANG asing wajib berpermit...

Bentangkan sireh bertindan selayang,
Urat setara berhelai daun;
DIDATANGKAN kasih cinta dan sayang,
Erat antara termeterai susun..

Jangan awan cuba mencurah,
Titi di hulu akan tenggelam;
KEDATANGAN tuan hamba berserah,
Hati dahulu bukan semalam....hehe


Harapan Ummi agar sahabat-sahabat pemantun teruskan tampil dengan pantun tersendiri....sekadarnya tidak mengapa......ya...Sampai di sini dahulu Ummi bermohon pergi, insyaAllah di lain masa dan detik Ummi pasti akan kembali lagi menemui tuan puan semua ya... ^^
Salam sayang teramat kasih buat semua para sahabat Ummi yang budiman....teruskan berpantun... ^^




Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Ingat....

$
0
0



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Assalamu'alaikum salam merindu di angin terapung khusus buat sahabat-sahabat yang telah agak lama Ummi tinggalkan.....betapa sendu, rindu dan terharu di hati ini kerana baru kini dapat bersua dengan sahabat-sahabat tersayang terutama pemantun-pemantun setia Ummi.....banyak benar peristiwa yang telah berlaku dalam tempuh tiada di pandangan mata......hanya kesabaran dalam kepiluan meratah hati perlahan-lahan...namun pantun juga yang menjadi terapi hati....baiklah tanpa berlengah dan membuang masa..... SEINGAT Ummi agak sebulan lebih juga Ummi tiada berpantun di teratak kesayangan ku ini.....

Kini dalam tema INGAT, mari kita garapkan perkataan dengan menambahkan imbuhan seperti INGATAN, PERINGATAN, INGATLAH dan sebagainya yang maknanya pun berbeza-beza......

Jom kita berpantun bersama Ummi ya....



Kelam lautan mentari berlalu,
Kelam samudera deru meninggi;
Salam INGATAN dari dahulu,
Salam mesra bau mewangi..

Kelapa rebah biji terbelah,
Tiada santan kelapanya tua;
Ditimpa musibah diuji Allah,
Tanda PERINGATAN kepada semua.

Menjamah ulam kobis memutih,
Perangat ikan bercampur rasa;
Di tengah malam menangis sedih,
TERINGAT badan berlumur dosa...

Hangat keringat berteman senja,
Jangan bermalam di tasik sebu;
TERINGAT-INGAT zaman remaja,
Kenangan lama mengusik kalbu..

Hangat samudera sauh terapung,
Selisih kapal rentap kemudi;
TERINGAT saudara jauh di kampung,
Kasih bergumpal tetap semadi..

Simbah tuba jerami bertabur,
Ikan berenang mati di kolah;
Musibah dicuba kami bersyukur,
Hatikan tenang MENGINGATI Allah..

Keliling titi menjelma ikan,
Berpisah renang di celah bantu;
Saling MENGINGATI sesama rakan,
Susah senang selalulah bantu.

Lokan dicari siputnya kenyal,
Lada dan halia belah persatu;
INGATKAN diri dijemputnya ajal.
Muda berusia Allah Penentu.

Sebelah pekan redah membeli,
Nasi kandar di kedai India;
Telah DIINGATKAN sudah berkali,
Topi kaledar dipakai sedia...

Keringat hangat dilap tuala,
Tuala warna biru berkotak;
BERINGAT-INGAT setiap bermula,
Bila terkena baru tersentak..

Belah tebu bawa dikendong,
Ranting berangan mati beronak,
INGATLAH ibu yang tua di kampung,
Kucing kesayangan pengganti anak..

Keladi dilengat tentu termasin,
 Dicampur santan gula terkurang;
 Budi sekepuk waktu kelmarin,
 Subur DIINGAT hingga sekarang....

Awan tersasar purnama dingin,
 Lautan dengus rentap kemudi;
 Kawan membesar sama bermain,
 INGATAN kudus tetap semadi....

Tulang gigitan dimakan baja,
Sedikit dibawa ke hulu titi;
Hilang INGATAN bukan sengaja,
Sakit jiwa yang perlu diubati...

Kelam lautan perkasa ombak,
Lebat curahan menghapus keringat;
Dalam INGATAN sentiasa ternampak,
Sahabat sekelian pencetus semangat.

Malam meniti pesona angkasa, 
Dingin angkasa bertamu gegaran;
Kalam berhenti kerana masa,
Di lain masa bertemu siaran....



Izinkan Ummi berundur dahulu buat seketika namun ku akan tetap kembali lagi dengan rangkapan pantun berlainan tema....insyaAllah....
Ummi harap sahabat sekelian sudilah datang ke sini kerana Ummi telah kembali.....ya....

Salam sayang selasih berderai.......buat semua... ^^,




Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun 'SENJA' Di Lautan Hindi.....

$
0
0

Bismillahirrahman nirrahim.....


Kak Normah Jaafar ditenangkan pegawai kaunselor dari PDRM
kerana teringatkan anaknya Mohd Khairul Amri yang
merupakan salah seorang penumpang pesawat MH370.....



Perasaan tidaklah mampu diungkapkan dengan kata-kata, hanya airmata hiba bercampur pilu seiring doa yang sentiasa membasahi bibir....semoga Allah mempermudahkan segalanya.....sesungguhnya Allah tidak akan menguji dengan ujian yang di luar kemampuan hambaNYA.......wallahualam.......


'SENJA' Di Lautan Hindi...


Mengusung rembang pelangi nan rawan,
Dini menghampir pautan kemudi;
MH370 terbang tinggi di awan,
Kini berakhir di Lautan Hindi.....

Ku cari tempua mematuk lesung,
Sangkar kedidi dibalut buluh;
Dari doa untuk MH370,
Bertukar trajidi berpalut luluh.

Mencari buluh berpanggu kayu,
Melata serama di pangkal tinggi;
Dihari kesepuluh menunggu sayu,
Berita diterima bersangkal lagi...

Nangka sebelah siapa empunya,
Tiada berjamah tetamu disaji;
Romantika Allah menyapa hambaNYA,
Ada berhikmah dirimu diuji..

Menanti gerimis sebuah perahu,
Merata pantai pergi menjaring;
Hati menangis adakah tahu,
Airmata bagai perigi yang kering....

Letakkan gugusan purut yang basah,
Pangkal diraut bercantum dua;
Esakkan tangisan turut dikisah,
Bersangkal maut sebelum bersua...

Bukan titisan penanda basah,
Titisan dimakan ada di kelopak;
Pacakan nesan tiada berpisah,
Nesan dipacakkan tiada ternampak....

Bijana diusung ke tunggullah bakau,
Sebatas kunyit berat berpaut;
Di mana MH370 muncullah dikau,
Diatas langit di darat dan laut...

Subhanallah Subhanallah bumi yang layu,
Gemerlapkanlah  hujan di bumi;
Ya Allah Ya Allah kami merayu,
Singkapkanlah perasaan kami...

Tiadalah sinar merambang waktu,
Punya tekanan membawa taufan;
Di kedalaman lautan berani bumi,
Luluh berpisah hidup atau mati;
Adakah benar kebimbangan itu,
Hanya pepohonan doa dan harapan,
Di genggaman pautan nurani kami,
Keluh kesah hati redup yang menanti...


Ya Allah Ya Allah benarkanlah....permudahkanlah....

Aamiin...Yaa Rabbal’Aalamiin.....



Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Puas....

$
0
0

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM..





Masihkah ada rindu...hehe

Assalamu'alaikum secangkir selasih buat sahabat-sahabatku sekelian yang tersayang terutama pemantun-pemantun yang datang memberi pantun terutama sahabat Ummi Bin Muhamad, Cikgu Teh Ramuan dan ramai lagi pemantun-pemantun hebat yang sering datang ke teratak Ummi yang sepi ini.....

Doa agar semuanya di dalam kerahmatan Allah SWT....aamiin...Ummi sudah agak lama tidak menampilkan pantun dan sekarang rindu semakin menjalar kembali di sanubari lantas jari jemari terus menari.....

Seperti tema yang lepas, Ummi menampilkan tema PUAS dengan imbuhan yang merungkaikan berbagai maksud misalnya PUASKAN, KEPUASAN, SEPUAS-PUAS, dan sebagainya....agar senang untuk mengolah pantun, namun harapan Ummi janganlah ada sebarang ungkapan yang berbaur sumbang dan menyimpang dari tema dan konsep asal blog ini yang mementingkan KEINDAHAN, KEIKHLASAN, HARMONI, MAHAKARYA dan PENYAMPAIAN BERKESAN....selain dari itu Ummi tak benarkan sama sekali....harap faham demi kepentingan perasaan semua...

Oklah, mari kita teruskan berpantun, jangan malu dan segan, kalau segan sorokkan muka yang cun dan tampan tu....hehe....serius, jom kita berpantun....




Serumpun lengkuas tumbuh di parit,
Melebar daun bertemu laluan;
Pantun PUAS utuh tercoret,
Selembar pantun untukmu tuan..

Lebat mengkudu pepohon tinggi,
Galah beruas dicuba sahaja;
Tempat mengadu bertahun  pergi,
Belumlah PUAS hamba bermanja...

Sawah meluas suburnya padi,
Padi setangkai masak secupak;
Sudah PUAS ku taburnya budi,
Budi serangkai tidak ternampak...

Galah beruas ditemu lagi,
Bertemu cuma dahan yang genting;
Janganlah PUAS berilmu tinggi,
Ilmu agama lagikan penting.

Rebah cemara dahan melentur,
Buah direlas bolehlah capai;
Tambah selera belacan dicampur,
Lagilah PUAS ditambah cabai...

 Nisan redup bunga angsana,
Bersirat pegaga tepian pangkal;
KEPUASANhidup di dunia fana,
Di akhirat juga abadi dan kekal..

Basah tempias lautan redup,
Lautan berkabut sepi benua;
Usah BERPUAS kenikmatan hidup,
Kenikmatan disebut daki dunia..

Sampan dibawa masuk ke hulu,
Gerimis hari setempias-tempiasnya;
Harapan kecewa menusuk pilu,
Menangis diri SEPUAS-PUASNYA..

Beruas tebu merimbun batang,
Entah bersarang itik dan denak,
PUAS siibu walaupun berpantang,
Berpatah arang mendidik si anak..

Sawah meluas merata kebun,
Keringat berganda padi bertanam;
Usah BERPUAS harta menimbun,
Ingat kepada budi segenggam..

Berwakaf kawasan sebelah kebun,
Tanah sejengkal pulau berbukit;
Maaf kupohonkan tersalah pantun,
Tak pernah kusangkal walau sedikit..

Seruntun bumi akarnya jarang,
Tegap batang tidaklah tinggi;
Pantun Ummi lembarnya kurang,
Harap datang sambunglah lagi,


Sehingga ketemu lagi, salam sayang selasih lagi....buat anda semua.....jangan serik untuk datang berpantun di blog Ummi......ya... ^^

Kalam berpena....
UmmiAin

Pantun Jiwa MH370...

$
0
0
 
Bismillahirrahman nirrahim.....


Pelam harum dimakan Dara,
Dara beradap menumbuk lesung;
Assalamu'alaikum pembukaan bicara,
Bicara mengharap untuk MH370...

Tilan dicekau sebelah denai,
Tiak di bendang mengusung padi;
Persoalan melangkau belumlah terurai,
Hendak kupandang MH370 bernadi..

Kolah surau di lorong sisi,
Lorong sisi sarangnya tempua;
Pulanglah dikau si burung besi,
Burung besi membawa nyawa..

Landai teratak perahu deli,
Ikan melata entah bernyawa;
Andai tidak mahu kembali,
Kirimkan berita sepatah dua..

Santai terserlah diri empunya,
Sering ke surau cuma berDhuha;
Andai Allah Mengunci TakdirNya,
Ku iring dikau bersama reha..

Petunia dikarang bersulam lima,
Keliling sangkar telah dililit;
Dunia sekarang di dalam dilema,
Paling sukar palinglah sulit..

Bunga angsana mulus basahi,
Berwarna merah di dahan tua;
Semoga terlena di Firdaus Ilahi,
Redha pasrah belahan jiwa..

Setangkai kuini dijamu Tengku,
Merekah nyata tidak termakan;
Andai ini ujianMU Ya Tuhanku,
Siapakah kita berhak persoalkan..

Tidur siintan berpaut bonda,
Basah di pipi meminta dibelai;
Lekas sebak jangan tangisi;
Di koridor Selatan Laut persada,
Usah ketepi airmata berjurai,
Sederas ombak menelan isi..



Jiwa hamba...

 Rintihanlah bersemi jiwa membelah,
Terumbang di mata pertikainya hala;
Angin dan cahaya tiadakah peduli,
Walaupun seluruh Selatan dikesan arah;
Kasihanilah kami semua Ya Allah,
Bimbang berita sampainya bila,
Mungkin bahagia akankah kembali,
Ataupun keruh lautan tangisan darah...


Sampai jumpa lagi, salam kasih sayang berderai selasih buat semua sahabat-sahabat Ummi......i'll be back...in shaa Allah... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Segera....

$
0
0


Bismillahirrahman nirrahim....




Assalamu'alaikum buat sahabat yang Ummi rindui selalu......baru kini dapat bertemu dek kerana kesuntukan waktu, namun pantun tetap dihati dan jiwaku.....alhamdulillah dapat kembali lagi kerana rindu...diharapkan semoga sahabat sekelian beroleh kesihatan yang padu selalu....aamiin..

Seperti yang telah lepas, pantun kali ini juga berlainan tema tapi berlainan makna jika diimbuhkan....kita berpantun dengan perkataan SEGERA, SEGERAKAN, SEGERALAH, DISEGERAKAN dll....

Jangan malu dan segan wahai rakan-rakan baru dan lama dan mantan....macam-macam....jom kita berpantun sekali lalu......ya...


Rambai lebat kelami dahan,
Memaku pusara merentang gua;
Duhai sahabat Ummi tertahan,
Daku SEGERA datang bersua..

Ulam mengkudu selera tambatan,
Mentimun dihiris denganlah kentang;
Salam syahdu SEGERA kusampaikan,
Pantun secebis SEGERALAH datang..

Bumi tertambat bayangnya senja,
Meruntun hujan bertemu awan;
Ummi terlambat bukannya sengaja,
Pantun KUSEGERAKAN untukmu tuan...

Tarik joran ikan sedepa,
Muara berkelodak terasalah mengah;
Sebaik kedengaran azan menyapa,
BERSEGERALAH anak usah berlengah..

Ikan belanak taruhan bubu,
Hendak menjala menanti tunda;
DISEGERAKANanak suruhan ibu,
Kelak pahala pasti berganda.

Muara bukan sebarang muara,
Menghala daik berpisah hulu;
SEGERA bukan sebarangSEGERA,
Segala yang baik hendaklah selalu....

Dara Pasai menyala pelita,
Bonda merendam kain basahan;
SEGERA selesai segala sengketa,
Tiada dendam angin permusuhan..

Sebelah muara arus deruan,
Diwaktu berangin mengutip lokan;
Hendaklah BERSEGERA urus kematian,
Fardhu Ain wajib DISEGERAKAN...

Makan rendang dibubuh kelapa,
Anggunlah dara sambil menyenduk;
Azan kumandang Subuh menyapa,
Bangunlah SEGERA mengambil wudhuk..

Kalau mentari merentang bukit,
Semarhalah tinggi cahayanya kendur;
Kalau diri datang penyakit,
SEGERALAH pergi berjumpa doktor..

Senduduk tumbuh di dahan rendang,
Mulalah lebat sibunga markisa;
Beduk ditabuh azan kumandang,
BERSEGERALAH umat berbuka puasa..

Sebungkus lada dimayang direndam,
Cendawan sebesen dibelah dimakan;
Khusus kepada anda yang peminjam,
Bayaran PTPTN wajiblah DISEGERAKAN...

Enau berdiri menghalang markisa,
Buah ternyata melentuk lebat;
Kalau diri bergalang dosa,
BERSEGERALAH kita untuk bertaubat..

Nangka berbuah bertindan bangku,
Lentuklah dahan dibantu papan;
Jika tersalah tingkah dan laku,
Eloklah SEGERAKAN bermaaf-maafan..



Samapi di sini dahulu buat kali ini hingga dilain episod dan tema, Ummi memohon berundur diri untuk mencari ilham dan idea yang lain pula...terasa rindu semakin membelit disanubari, namun Ummi ambil kesempatan untuk memohon maaf jika ada sebarang silap dan kata sewaktu berpantun....dan atas kelewatan Ummi mengemaskini teratak Ummi yang kian sepi ini.....salam sayang teramat dalam buat anda sekelian dengan iringan doa semoga anda semua ceria dan sentiasa sihat wal'afiat....



Kalau bersilih awan membiru,
Menyapa bayangan persada bumi;
Kalau beroleh kawan yang baru,
Dilupa jangan kepada Ummi....




Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Peknga...^^

$
0
0
Assalamu'alaikum wahai sahabat-sahabat Ummi yang tetap kurindui.....  doa dan harapan semoga sekelian sentiasa dirahmati Allah Subhana Wataala....aamiin...

Selamat bertemu kembali...Ummi di sini masih begini...akan berpantun dengan anda sekali-sekali....cuma masa tidak selari.....namun Ummi masih mengingati sahabat-sahabat di sini.....s
hinggalah ke hari Rabu yang selalu ditunggu-tunggu....

Terimalah pantun secebis bertemakan PEKNGA atau LEMPENG..., iaitu makanan yang mudah dan simple untuk dibuat......dari Ummi untuk sahabat semua buat hari ini.... ^^,


Makanan Ummi jam 4 pagi tadi...alhamdulillah... ^^





Telinga sebelah bersubang paku,
Hanya sebelah pangkal tergantung;
Peknga adalah kembang jiwaku,
Sedapnya dicecah sambal sotong...

Daffodil berbunga di seberang pusara,
Sendeng ke kanan kuning dan mekar;
Diipanggil peknga orang utara,
Lempeng makanan sering digemar..

Daffodil berbunga di seberang pusara,
Kuning menguntum jarang dicari;
Diipanggil peknga orang utara,
Lempeng gandum orang nogori..

Dihempap kelapa bunga daffodil,
Carik bunga rasanya layu;
Sebab apa PEKNGAdipanggil,
TemPEK di belaNGA bahasanya Melayu..


Sampai jumpa lagi ya...in syaa Allah....salam sayang buat anda semua dari Ummi.. ^^
Jangan lupa pantun... ^^


Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Bergambar Khusus Untuk Guru...

$
0
0

Assalamu'alaikum dikelewatan ucapan yang tidak bertepi, kurangkum keping luahan hati buat semua guru-guru di tanahair terutama guru Ummi sejak dari darjah satu hingga tingkatan enam (Form 6)...
Dan kepada sahabat-sahabat Ummi yang bergelar guru samada bakal guru maupun pesara guru, SELAMAT HARI GURU buat anda sekelian walaupun agak terlewat...maafkanlah atas kekurangan entri pada kali ini ya....semuanya untuk kalian terutama sahabat Ummi Cikgu Tetamu IstimewaCikgu HairulCikgu Teh RamuanCikgu Nor Salmi dan banyak lagi sahabat Ummi yang bergelar guru......doa yang terbaik buatmu semua guru yang dikasihi.....aamiin..


Jom kita tengok gambar bunga sebagai terapi jiwa sambil menghayati pantun...ya.. ^^













Sekian buat kali ini, diharap semua suka dan gembira sambil menikmati keindahan bunga-bunga ciptaan Allah Taala.....semoga semua kita beroleh rahmat dan baraqah di dalam kehidupan dan sentiasa di dalam kasih sayangNYA...aamii..

Sampai jumpa lagi.....salam kasih mesra dari Ummi.. ^^



Kalam berpena
UmmiAin

Pantun DALAM..

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Assalamu'alaikum salam sayang secangkir selasih buat teman-teman Ummi yang sangat dirindui.....
kudoakan semoga semuanya sentiasa beroleh rahmat di sepanjang Bulan Rejab bulan baraqah....kita posa naaa... ^^ Terimalah pantun selembar dari Ummi yang bertemakan DALAM...pelbagaikanlah maksud DALAM dengan penambahan imbuhan seperti DALAMI, DALAMKAN, PENDALAMAN, SEDALAM-DALAM dan sebagainya.......bolehkan... ^^

Jom kita berpantun.......

Hinggap sudah balam di pohon,
Hendak mencari tempat bersarang;
Berangkap indah DI DALAM pantun,
Berketak jari dapat kukarang..

Menimbun pauh hendak dibuang,
Tanam sepohon buah mengkudu;
Sungguhpun jauh diawang-awang,
DI DALAM pantun kuluah rindu..

Tanam melati kelopak biku,
Dibuat jambangan bersulam selasih;
DI DALAM hati merafak rinduku,
Kuat di tangan genggaman kasih..

Teriak sigajah hendak ke paya,
Tenggelam mati bergoyang perahu;
Riak wajah nampak ceria,
DI DALAM hati Allah Yang Tahu..

Pelam berpaut selisihnya goyah,
Berbagi sedikit masak setangkai;
SEDALAM laut kasihnya ayah,
Setinggi langit tidak tercapai...

Menjamu papaya berdua suami,
Kesat tangan di atas lutut;
Ilmu dunia kita DALAMI,
Akhirat jangan terlepas tuntut..

Tanam nona dahan kelami,
Bertemu bambu rapat berpada;
SEDALAM mana kecintaan kami,
Kasihmu ibu berlipat ganda..

Kelam gelap lambaian senja,
Lampu terang pelita cimni;
DALAM mengharap belaian manja,
Ibu seorang minta dikasihani..

Tarik peti sibuah mempelam,
Lebatnya kelapa di pantai tumbuh;
Carik dihati sudah MENDALAM,
Ubatnya apa sebagai penyembuh..

 Cuaca bumi rentap gegaran,
Kelam luaran dipagi yang sejuk;
Baca dan fahami kitab Al Quran,
DALAM Al Quran mengandungi petunjuk..

Bertanam keladi merata taman,
Liat mempalas terlebih tua;
DALAM mengabdi cinta Ya Rahman,
Niat yang ikhlas bersih dijiwa.

Indah melati menyerlah lawa,
Mekar kudup jerih menanti;
DALAMILAH hati selamilah jiwa,
Agar hidup lebih bererti...

Sulaman kekwa indah selisih,
Bunga mewangi seri Cik Puan;
DALAMAN jiwa haruslah bersih,
Redha berbagi memberi bantuan.

Tanam mentimun tanam sehari,
Masa berputik cuma seminggu;
DALAM berpantun ilham dicari,
Bahasa cantik rima berlagu.

Kalaulah kobis kelopak dedar,
Berpisah rumput tanam di bawa;
Kalaulah terguris tidak kusedar,
Usah bertaut DI DALAM jiwa.


Baiklah sahabatku...sampai di sini dahulu buat bicara pantun....salam kasih mesra selasihku sayang dari Ummi yang jauh.....semoga bertemu lagi di next episode...in shaa Allah... ^^


Kalam berpena...
UmmiAin

Pantun Selera...Bergambar

$
0
0

Assalamualaikum buat sahabat-sahabat Ummi yang paling dirindui sehingga kini....buat sekian kalinya Ummi 'update'kan entri istimewa buat sekelian iaitu Pantun Selera...Bergambar....
Resepi semua ni Ummi buat bersama anak dara Ummi yang sorang tu.... ^^



















Sekian sahaja...tunggu entri seterusnya dari Ummi ya....rindu ya.....salam sayang ribuan selasih buat anda sekelian....jom kita berpantun..... ^^,


Kalam berpena..
UmmiAin

Pantun Bergambar Ramadhan...

$
0
0


Assalamu'alaikum khusus buat sahabat-sahabat yang Ummi sayangi dan telah agak lama Ummi tinggalkan....kerana kesuntukkan masa dan sibuk dengan urusan famili yang tanpa terduga....dengan ucapan selamat menyambut awal Ramadhan selamat berpuasa.....Ummi doakan semoga semuanya diberkati dan dirahmati Allah disepanjang bulan Ramadhan Al Mubarak bulan yang mulia dan di dalam kehidupan seterusnya...aamiin, in shaa Allah Ummi akan postkan entri terbaru Ummi ya....teruskan berpantun....







Kalam berpena..
UmmiAin
Viewing all 117 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>