Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Santapan Nurani...

$
0
0


Assalamu’alaikum wrwb..




Jom Kita Berpantun...


Bercantum dua tanam serumpun,
Memagar petunia naik sikantan;
Serangkum doa di dalam pantun,
Agar dikurnia terbaik kesihatan..

Kelopak seri jambangan petunia,
Petikkan nanti seroja sekali;
Tidak mensyukuri kesenangan dunia,
Akan pasti diambilNYA kembali..

Tinggi sudah sirumpun serai,
Ke tempat sana mencari maman;
Pagi yang indah turun berenyai,
Rahmat pesona dari Ar Rahman..

Di gigi tasik biduk bertambat,
Mentari pesona angin berhembus;
Selagi berdetik tawadduk dan taubat,
Hari bermakna semakin bagus...

Suburlah seri persada taman,
Menyula lepas mentari pagi;
Syukurlah diri kepada Ar Rahman,
Berhela nafas sehari lagi...

Menyula mentari berbayang daik,
Celahi pinggirnya rentangan gua;
Bermula hari dengan niat yang baik,
Sudahi akhirnya dengan berdoa..

Di taman kekwa menguntum indah,
Wangi redup bersulam melati;
Iman dan taqwa seharum mawaddah,
Terangi hidup ke alam pasti..

Tangan bertasbih menanti zikir,
Naik melangkah sembahyang di musollah;
Makanan berlebih ditakuti membazir,
Baik disedekah kepada yang susah..

Persada purnama naiklah seri,
Merbah berbunyi celah perahu;
Daripada terima baiklah beri,
Sedekah sembunyi Allah Yang Tahu

Berselera makan bersila alas,
Disaji bubur silalah nanti;
Dikira kebaikan pahala berbalas,
Janji Al Ghafuur sudahlah pasti..

Tangkai berbunga bijian bercambah,
Menyula merah si lada besar;
Andai diduga dengan musibah,
Rela pasrah Qada dan Qadar..

Tasik diredah menyongsong biduk,
Cantuk nelayan malam meniti;
Cantik mahmudah langsung tawadduk,
Untuk penentuan di alam pasti..

Bertemu puteri anggun melawa,
Bangga sendiri meluah madah;
PadaMu Ya Barii kumohon doa,
Semoga diberi penyudah terindah..

Nangka cempedak buah mengalah,
Pusalan menyerlah buah berati;
Derhaka sianak murkalah Allah,
Balasan Allah sudahlah pasti..

Pakaian purdah berona ungu,
Sidara muda muslimah lawa;
Alunan qasidah pesona lagu,
Suara ayahanda menjamah jiwa..

Berselera makan bersila alas,
Disaji bubur silalah nanti;
Dikira kebaikan pahala berbalas,
Janji Al Ghafuur sudahlah pasti...

Berhenti nelayan di kelam titian,
Mega selisih renyai ke tanah;
Kepastian dalam penantian,
Semoga kasih sampai ke Jannah..

Kelopak seri jambangan petunia,
Petikkan nanti seroja sekali;
Tidak mensyukuri kesenangan dunia,
Akan pasti diambilNYA kembali..

Gerimis sudah merintik hawa,
Sepi cuaca lautan murungi;
Semanis mawaddah secantik taqwa,
Lengkapi neraca amalan diimbangi..

Melata ikan tempiasan paya,
Sepat di muara melayang ke pangkal;
Harta kecantikan perhiasan dunia,
Bersifat sementara tiada yang kekal..

Gerimis rintik merah basahi,
Mulalah gerimis pulau bermendung;
Manis dan cantik anugerah Ilahi,
Lebihlah manis kalau selindung..

Menghala pantai sisi berpinggir,
Arus menelan limbungan titi;
Pabila sampai destinasi akhir,
Putus amalan hubungan terhenti..

Angsa sendeng celahan pasu,
Di sarang bertelur sepuluh biji;
Puasa benteng penahan nafsu,
Terang mabrur penyuluh uji..

Bersaji puan berganda hidangan,
Dilewat malam beralih Jumaat;
Puji-pujian kepada Junjungan,
Berselawat salam beroleh syafaat..

Senduduk diredah tanah berongga,
Bersirat titi terlebih juntaian;
Tawadduk ibadah Sunnah dijaga,
Di Akhirat pasti beroleh kepujian..

Hutan bersangkar pohonlah sunyi,
Tumbuhnya sebelah tanah berpasir;
Perbuatan mungkar usah sembunyi,
Sesungguhnya Allah Adalah Al Basir..

Berpaut selasih di tangkai tua,
Liat mayang diikatlah tali;
Bertaut kasih serangkai doa,
Buat orang yang telah kembali...

Belida menyapa di celah daik,
Titi perkasa berlaga lautan;
Kepada ibubapa berbuatlah baik,
Berbakti berjasa syurga kedapatan..

Kerabu kelapa nangka dan peria,
Ulaman bercampur selera berbagai;
Ibu dan bapa jika dianiaya,
Hukuman Al Ghafur segera dan tunai..

Relas pulasan buahnya elok,
Markisa dicari mula kepenatan;
Belas ehsan sesama makhluk,
Dosa dipagari pahala kedapatan..

Menjala sepat di kaki bukit,
Bengkaklah jari amat berbisa;
Tatkala mendapat rezeki sedikit,
Hendaklah mensyukuri nikmat Yang Esa..

Budak sekolah menyagat buah,
Cepat dimakan di perdu kelapa;
Anak solehah amat bertuah,
Dapat mengimamkan ibu bapa..

Azan Asar suara memanggil,
Jalan meniti ratih si fakir;
Jangan perbesar perkara kecil,
Tenangkan hati bertasbih berzikir..

Saku berlubang benangan reput,
Peniti dicantum di kain kasa;
Berlaku sumbang jangan diikut,
Pasti terhukum semakin dosa...

Celahan bata merimbun kunyit,
Sedang membesar siubi temili;
Kesalahan nyata walaupun sedikit,
Di Padang Mahsyar pasti diadili..

Batik basahan menanti kering,
Rona menitis ke dalam pasir;
Detik perpisahan pasti seiring,
Kerana tertulis di kalam takdir..

Redup meniti persada basah,
Bunga daffodil tunduk sewaktu;
Sehidup semati tiada berpisah,
Hanya Al Jalil Yang Maha Penentu..

Senja menggalah mega bertamu,
Persada bayang Dhuha selisih;
Sengaja Allah menduga kamu,
Petanda Dia Yang Maha Pengasih..

Naik ke pagar jangan ke dahan;
Makan bidara di perdu lama;
Sebaik terdengar laungan azan,
Tunaikan segera fardhu yang lima...

Menghala selat biduk berlaga,
Ikan melantun cepat membusuk;
Tatkala bersolat tawadduk dijaga,
Lakukan rukun tepat dan khusyuk...

Jari menyulam tentunya lama,
Indah berkelip tekadnya baldu;
Sehari semalam waktunya lima,
Sudah kewajipan solatnya fardhu..

Alu renangi likuan daik,
Meniti celahi batuan kukup;
Perlu teladani kelakuan terbaik,
Pasti peroleh kerahmatan hidup...

Rawan angkasa seribu kelopak,
Air menitis kelopak membesar;
Dugaan dirasa sedu dan sebak,
Takdir tertulis Qada’ dan Qadar..

Meniti liku mencari gamat,
Patah sehala terbelah perahu;
Pasti BERLAKU Hari Kiamat,
Entah bila Allah Yang Tahu...

Pandai mengarang hiasan indah,
Kamelia mekar kelopak berbiku;
Andai terang landasan mawaddah,
Nescaya mungkar tidak BERLAKU...

Secangkir halia harum dijemur,
Pegaga dicari di celah daik;
Lahir ke dunia bercantum umur,
Semoga diakhiri penyudah terbaik..

Mencari musollah untuk bertamu,
Tegar demi bersembahyang Asar;
Ya Barii berikanlah petunjukMu,
Agar kami di jalan yang benar..



Sampai jumpa lagi in shaa Allah..Ummi sentiasa menrindui rakan-rakan sekelian terutama yang selalu berpantun di blog Ummi...salam kasih sayang buat anda semua.... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

Viewing all articles
Browse latest Browse all 117


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>