Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Sekilas Ikan Di Air....

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Salam sejernih air berkilau embun, salam berpantun dari Ummi dengan tunas doa semoga sahabat sekelian sentiasa di dalam limpahan kasih sayang Allah SWT dan sentiasa dijauhkan dari keburukan......amin.

Entri Ummi pada kali ini adalah tentang hati kerana hati memainkan peranan paling penting dalam kehidupan seharian......hati berbunga ada kemanisan dan keharuman, hati yang gelap akan ada berhala hitam yang tumbuh di dalam....Ummi pasti anda semua faham apa yang Ummi ingin sampaikan dalam bentuk pantun versi Ummi....


Jom Kita Berpantun...

setidak-tidaknya sudi membaca bait rangkap yang amat sederhana ini...ya ^^



Kerdas dimakan bibir pun letih,
Harum tauhu santan diguna;
Sekilas Ikan Di Air jernih,
Belum ku tahu jantan betina.

Kalau silat bawa berpencak,
Patah kaki turun melawan;
Walau dilihat lawa dan kacak,
Entah lelaki ataupun perempuan.

Gendang kugiran kulit belulang,
Gegar tergolek dipaku kaca;
Pandang luaran sedikit terhalang,
Sukar ditilik dapat ku baca.

Limau dimakan selepas kundang,
Buah markisa pautan rona;
Walau ikan sekilas pandang,
Dapatkah rasa jantan betina.

Mencari angsa di hutan ulu,
Pagar tua di sebelah sana;
Peribahasa kiasan dahulu,
Benar petua mengolah suasana.

Balam ketitir di sangkar hampir,
Termakan sela mati di sarang;
Dalam air sukar ditafsir,
Inikan pula hatinya orang.

Petunia kembang di inderaloka,
Mimpi bercinta mengadap puteri;
Manusia memang suka berteka,
Membabi buta serkap dicari.

Sesah tempurung merekah satu,
Tentu isi melepak dan lemak;
Usah cenderung telingkah sesuatu,
Sesuatu terjadi hendaklah disemak.

Kuat ampaian bertindan besi,
Dawai rendah naik terlebih;
Membuat andaian dan spekulasi,
Nilai mujahadah baik dan jernih.

Pucuk dicita beralas kundang,
Harumlah mahu nasi berulam;
Tunjuk mata sekilas pandang,
Belumlah tahu isi di dalam.



Setiap perkara itu belumlah jelas selagi tidak memandang dan disiasat terlebih dahulu....baiklah sahabat, setakat ini dahulu masa terlalu cemburu......sampai terbuka lain lembaran, pasti Ummi kembali lagi.....
Salam sayang lemak manis dari Ummi sendiri..... ^^



Patah galah takkan berguna,
Belah buluh lentuk sejajar;
Entah salah entahkan kena,
Silalah asuh menunjuk ajar.

Tumbuk-tumbuk sicabai maun,
Makan berulam kerdas yang kecur;
 Sibuk ku sibuk merampai pantun,
Akan ku sulam di kertas A Four.




Kalam berpena...
UmmiAin

Viewing all articles
Browse latest Browse all 117


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>