Dalam muara sambar berudu,
Tangkap siput berembun bumi;
Salam mesra kembar merindu,
Rangkap disebut Pantun Suami.
Salam semesra-mesranya dari Ummi buat sahabat-sahabatku sekelian...yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati ini terutama rakan-rakan pemantun yang bijak pandai yang sentiasa singgah dan berpantun dalam kotak komen setiap kali ada posting baru....terimakasih Ummi bagaikan air bertali arus di tasik bening..... ^^,
Sebelum Ummi terus dengan sekajang pantun, terlebih dahulu Ummi nak ucapkan SELAMAT HARI ULANGTAHUN kelahiran buat suami Ummi tercinta iaitu pada hari ini 18hb Disember....dengan pepohon doa yang merimbun subur di telapak tangan semoga beliau sentiasa beroleh kesihatan yang terbaik dan sentiasa dimurahkan rezeki.....amin....he's my everything....
Tatang jambangan bunga selasih,
Kelopak basah keringkan nanti;
Sepasang tangan mendoa kasih,
Takkan berpisah melainkan mati.
Ya Allah...tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.......^^
Pantun khusus untuk suami Ummi tercinta....
Dekat dan hampir Ummi bercerita,
Masih berpaut diminda basah;
Selamat Hari Lahir suami tercinta,
Kasih bertaut tiada berpisah.
Bersama tangani diri dan jasad,
Bersua jua secangkir riwayat;
Umpama tembuni dan tali pusat,
Tua berdua keakhir hayat.
Semakin tua sejambak kenangan;
Bangga terasa subur terpahat;
Diamin doa di telapak tangan,
Semoga sentiasa berumur sihat....amiin
Sekarang...jom kita berpantun......ya ^^
Jerami bukan sembarang jerami,
Jerami boleh menjadi kompos;
Suami bukan sembarang suami,
Suami soleh kemudi bagus.
Bumi berat curahan turun,
Curahan lebat telaga keruh;
Suami ibarat dahan pepohon,
Suami ibarat dahan pepohon,
Dahan tempat keluarga berteduh.
Kolah bercantum meruap-ruap,
Bumi terbelah merenggang tanah;
Telah terhukum bertanggungjawab,
Suami adalah pemegang amanah.
Jerami lebih di tepi rumah,
Bakar segera kautkan ia;
Suami soleh isteri muslimah,
Layar bahtera lautan bahagia.
Berapi daik berkabut-kabut,
Batu belahan pasangan dua;
Suami terbaik disebut-sebut,
Menantu pilihan kesayangan mertua.
Melara bumi kelabu mendung,
Bergoyang batu mendak di hulu;
Antara suami dan ibu kandung,
Yang mana satu hendak didahulu.
Tulip tumbuh tiada bersemi,
Mulus lawa kuntum markisa;
Wajib patuh kepada suami,
Nusyuz membawa terhukum dosa.
Sari direndam dicantum jangan,
Jemur kasa basahan mandi;
Suami disalam bercium tangan,
Gugur dosa celahan sendi.
Letih kami tak henti-henti,
Kami di taman mencari kambing;
Pilih suami berhati-hati,
Suami beriman jadi pembimbing.
Limau kedangsa empunya siapa,
Pangkal bergoyang memulas nyiur;
Walau bangsa tak kiranya apa,
Asal penyayang ikhlas dan jujur.
Bagai perkasa subur si tunjang,
Masih menanti kejap berpaut;
Sampai masa umur tak panjang,
Kasih di hati tetap bertaut.
Jerami bersawang di celah bendang,
Sayang angin menongkah padi;
Suami berwang mungkinkah pandang,
Yang miskin pula kayakah budi.
Pantai beralun terang di kanan,
Turun sampan mencari salmon;
Andai pantun kurang berkenan,
Mohon kemaafan jari bersusun.
Mohon kemaafan jari bersusun.
Rumpai sasa makin berhampas,
Ikan keli bermain selut;
Andai masa mengizin lepas,
Akan kembali dilain episod......
Pak Mat hendak mencari gamat,
Gamat setimbun busuk di muara;
Tamat tidak ku beri tamat,
Tamat berpantun untuk sementara.....
Kelopak renungan...
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (QS. An-Nisa: 34)
Kalam berpena....
Ummi’Ain