Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Pertama...

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Tanam mengkudu bumi berasap,
Berasap kabut dusun delima;
Salam merindu Ummi berangkap,
Rangkap disebut Pantun Pertama...

Goyang delima menghala pusara,
Menangis jangan pusara merah;
Dia yang pertama memula perkara.
Manis kenangan perkara sejarah.


Assalamu'alaikum jom senyum manis dipagi gerimis......apa khabar semuanya memulakan tugasan dihari pertama hari Isnin.....bersama dengungan nyamuk memaku kulit berlanggar-langgaran di tepi telinga.....si nyamuk Aedes memprotes menanti, aduh, hanya Allah Yang Tahu si Aedes dalam seribu.....bahaya yang mana satu.....semoga sahabat sekelian sihat wal'afiat dan sentiasa di dalam lindungan dan kasih sayangNYA...ameen.

Lamanya baru kini dapat meng'update'kan blog Ummi yang agak sepi....maklumlah tugasan dan komitmen untuk keluarga melebihi segala-galanya.....namun pantun tetap tidak dilupa.....

Untuk pengetahuan, setelah Ummi terbaca intipati sejarah pertama ini dalam blog Cikgu Mama Liza yang comel dan menawan hati, Ummi pun terpanggil untuk menukilkan rangkapan Pantun Pertama ini...

Di dalam hidup kita seharian tentulah ada yang pertama dan...pastinya ada yang terakhir...
Orang yang pertama memulakan sesuatu perkara....perkara yang pertama...mesti seronokkan menjadi orang yang pertama.....tapi ini bukanlah pantun Ummi yang pertama ya...... ^__^

Baiklah sahabat sekelian yang budiman....jom kita berpantun meRelakskan Minda kita kerana ianya merupakan suatu terapi indah khusus untuk yang suka memerah otak.......betul takk.. ^^,



Terang purnama dipuja penglipur,
Mimpi berteman Balqis terserlah;
Orang pertama raja termasyhur,
Nabi Sulaiman menulis Bismillah.

Pasir terbenam tulang berlaga,
Lima Al Marhum di sipi Izrail;
Air zam zam penghilang dahaga,
Pertama diminum Nabi Ismail.

Bunga kantan pegaga putih,
Ragi distim dijerang lama;
Pertama berkhatan menjaga bersih,
Nabi Ibrahim orang pertama.

Sehari-harian mencari gamat,
Parang lama dibelah Pak Rahim;
Diberi pakaian di Hari Kiamat,
Orang pertama Nabi Allah Ibrahim.

Kecut delima berbuah masam,
Sekecil buah biji bersirat;
Disebut pertama Nabi Allah Adam,
Dipanggil Allah di Hari Akhirat.

Daie meredah senja berlabuh,
Pesona pengajar di surau ternama;
Saie ibadah dikerja bersungguh,
Sayyidatina Siti Hajar beliaulah pertama.

Sanggul terserlah berseri rupa,
Lima orkid seri penyemat;
Rasulullah Ya Nabi Mustafa,
Pertama dibangkit di Hari Kiamat.

Di mana bubu di sangkar itik,
Sarang yang lama sudah tenggelam;
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq,
Orang pertama khalifah Islam.

Buah delima terlebih merah,
Subur pudina segar ditatap;
Tarikhlah pertama tarikh Al Hijrah,
Dipelopor oleh Sayyidina Umar Al Khattab.

Kesan di kuali arang bersepah,
Kalau lama tidak digunakan;
Al Hasan bin Ali seorang khalifah,
Beliau pertama meletak jawatan.

Rambai di lembah ternyata berbuah,
Pelita lama menunggu api;
Thuwaibah dikata wanita bertuah,
Wanita pertama menyusukan Nabi.

Irama seli nasyid gurindam malam,
Telah terselit erti menyerlah;
Pertama lelaki syahid dalam Islam,
Itulah Al Harith bin Abi Al Halah.

Masjid ternama jangan diperkata,
Sudah dimartabat dikata gah;
Syahid pertama di kalangan wanita,
Sumyyah bin Khabbat wanita solehah.

Sampullah biru beralas tuala,
Sama melapis mengelap seluar;
Abdullah bin Amru Al Ash pula,
Pertama menulis hadith di kitab lembar.

Ruang tanah cuma sebelah,
Tempat luas indah berbata;
Pejuang pemanah pertama fisabilillah,
Saad bin Abi Waqqas sudah dicerita.

Beringin lama menampung hujan ,
Pangkal rebah bersarang labah;
Muazzin pertama melaung azan,
Bilal bin Rabah seorang yang tabah.

Tumbuh lili di tepi tulip,
Delima kelat delima terbelah;
Sesungguhnya Ali bin Abi Tholib,
Pertama bersolat bersama Rasulullah.

Muat huma berbukit padi,
Burung kenari merembat lada;
Pembuat pertama mimbar di masjid Nabi,
Tamim Ad-dary sahabat baginda.

Huma hangus bendang sebelah,
Air disiram berlompang alur;
Pertama menghunus pedang fisabilillah,
Az Zubair bin Al Awwam memang tersohor.

Tamban dan toman di simpan di bot,
Bilis dan gelama merah di pipi;
Ibban bin Osman bin Affan disebut,
Penulis pertama sirah Nabi.

Minta delima dengan kelubi,
Buah sedikit diberinya muda;
Wanita pertama beriman dengan Nabi,
Khadijah binti Khuwailid isterinya baginda.

Berhias sanggul teratur indah,
Bersulam daisi dikarang lima;
Pengasas Usul Fiqh tersohor sudah,
Imam Syafei seorang ulama.

Pusara lama terbenam semalam,
Guna penggali digali tertib;
Penjara pertama di dalam Islam,
Dibina Ali bin Abi Tholib.

Meja lama tertangkup basah,
Ayah menyapu pepijat kerengga;
Raja pertama termaktub kisah,
Muawiyah bin Abu Sufian sahabat Syurga.

Melangkah platun menggempur musuh,
Lama berkawat badan dituam;
Khalifah Harun Al Rashid termasyhur sungguh,
Pertama membuat perpustakaan awam.

Tumpul pangkal bermata tajam,
Terlebih limau diasap-asap;
Baitul mal tercipta dalam Islam,
Oleh beliau Umar bin Al Khattab.

Selapis hamparan alas serambi,
Serambi tersisip penyapu nenda;
Hafiz Al Quran pertama selepas nabi,
Ali bin Abi Tholib sepupulah baginda.

Indah delima pesona tiara,
Tiara dijunjung kecil bersulam,
Kalau sudah bergelar al masyhur;
Pemerintah pertama membina menara,
Menara agung Masjidil Haram,
Beliau Khalifah Abu Jaafar Al Mansur.

Main ketitir girang melompat,,
Girang bersama di sangkar nuri;
Mus'ab bin Umair seorang yang taat,
Orang pertama digelar Al Muqry.

Dekat tunggul benih mencelah;
Bercantum lama berpucuk juga;
Muhammad Rasul Kekasih Allah,
Maksum pertama masuk ke Syurga.

Sebelah mata jelawat dan alu,
Jelawat terlepas tangan memikul;
Marilah kita selawat selalu,
Selawat ke atas junjungan Rasul.

Jelawat terlepas tangan memikul,
Terubuk lekatnya hanya di darat;
Selawat ke atas junjungan Rasul,
Untuk syafaatnya dunia akhirat.


Curahan terimakasih buat pembaca yang sudi memberi komen dan berpantun di halaman teratak Ummi yang serba kekurangan ini...semoga kisah menjadi tatapan manis dan contoh tauladan kepada kita semua....mohon kemaafan selebat titisan hujan.....

Pantun Ummi hanyalah cubaan dalam pengetahuan buat rujukan...seandainya terkurang dan tercacat cela bahasa diukir........silalah beri teguran....

Akhir kalam.....salam kasih secangkir madu buat kalian yang sudi singgah sebagai silent reader or sebagai memenuhi talent untuk berpantun di sini......semoga kita bersua kembali di episod yang lain pula.......sampai jumpa lagi ya...

InsyaAllah... ^^,



Jerami bergoyang membumbung asap,
Masak delima masamnya tiga;
Suami tersayang bertanggungjawab,
Anak pertama dalam keluarga.

Pulau seberang pohonnya rimba,
Gelap lipur berangin malas;
Kalau terkurang pantunnya hamba,
Harap ditegur komen yang ikhlas.



Kalam berpena.....

UmmiAin

Viewing all articles
Browse latest Browse all 117