Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Teristimewa Dia Yang Ku Sayang... ^^

$
0
0


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Berendam kuntum hari basahan,
Teratai terendam kekwa terapung;
Assalamualaikum dari kejauhan,
Ku sampai salam berhawa kampung,

Bendang berlopak pianggang di tangan,
Pagar tua mana tegaknya;
Dipandang tidak dipegang jangan,
Khabar semua bagaimana agaknya.

Disambar mercun dekat halaman,
Mercun terkena bibir dan dagu;
Selembar pantun buat rangkuman,
Pantun nostalgia berair lagu.

Turun memburu menyambar rendah,
Tempua terbang melayang-layang;
Pantun baru terhampar sudah,
Teristimewa Dia Yang Ku Sayang.

Salam bahagia senyum teramat manis dari Ummi.....^^, agak lama juga Ummi tidak melembarkan pantun, Alhamdulillah baru kini Ummi berpeluang untuk bertemu dengan para pembaca dan sahabat-sahabat Ummi tersayang....apa khabar semuanya, harap semuanya sihat-sihat wal'afiat dan ceria-ceria selalu hendaknya....amin.

Sebenarnya Ummi baru sahaja kembali dari kampung halaman nun jauh di utara sana untuk bertemu bonda di kejauhan untuk melepaskan kerinduan yang bertakuk di pohon hati....sekarang rindu Ummi terubat sudah....tetapi kerinduan untuk berpantun meluap-luap di dalam jiwa....sekembalinya Ummi ke arena pena, dapatlah Ummi rangkumkan topik bertajuk Teristimewa Dia Yang Ku Sayang khusus buat sahabat-sahabat pembaca.... sepertimana yang Ummi pernah nukilkan pantun yang sinonim dengan yang ini iaitu di segmen yang dianjurkan oleh dear P.C.L yang baru lalu...peminat no satu tu tetapi pantun kali ini punya kelainan iaitu tentang orang-orang yang paling Ummi sayang......anda pun begitu juga kan.... ^^,

Baiklah....satu...dua...tiga....jom kita berpantun .... ^^,



My beloved ones.......

Kasih selengan sebantal....


Bawah papan letak peniti,
Berat kelikir beralas bangku;
Wajah tersimpan di kotak hati,
Ibarat terukir di atas batu.

Bumi putih berangkai jerebu,
Irama jerung mencekau tempua;
Suami ku kasih termeterai kalbu,
Bersama mengharung walau apa jua.

Ruas buluh menahan delima,
Putih kekabu jatuh ke tanah;
Tunas tumbuh tiadakan sama,
Kasih Ibu seteguh Al Jannah.

Melantun pauh di mata lebah,
Mata berpusing di tepi laman;
Ibu nun jauh wanita tabah,
Pencinta kucing menjadi teman.

Pelangi menjelma berwarna tujuh,
Melayang merbah disedut Bermuda;
Selagi bersama badan dan roh,
Sayang Ayah berpuput tiada.

Goyah mempalas digoyang puput,
Segar putat menghala laluan;
Ayah tegas penyayang dan lembut,
Gemar mencatat segala perlakuan.

Petik kemboja seberang tanjung,
Mawar serumpun tilayah bumi,
Si Adik manja pengarang jantung,
Penawar racun Ayah dan Ummi.

Bunga tumbuh bersirat putik,
Bunga padi tidak terlekat;
Doa bersungguh buat si Adik,
Semoga menjadi anak yang taat.

Tengah menanam pandan di bumi,
Sarang tergantung dekat mengkudu;
Abangngah faham perasaan Ummi,
Pengarang jantung tempat mengadu.

Tempua melayang menggenggam bunga,
Kera meragut pulasan segar;
Jiwa penyayang pendiam orangnya,
Bersuara lembut insan penyabar.

 Nangka diperam berbau harum,
Bidara mangkal bawa ke pasar;
Jejaka hensem selalu tersenyum (Abanglong)
Bersuara Jamal berjiwa besar.

Gulung sauh kapal belayar,
Perahu lalu sarat tenggiri,
Berlaga kemudi Selat Panama;
Abanglong jauh tinggal khabar,
Mahu selalu ingatkan diri,
Jaga peribadi solat yang lima.

Pasti Cik Gayah berkunjung ke kelab,
Bersepatu slop menunjuk-nunjuk;
Pengganti Ayah bertanggung jawab,
Abangku Ayob tempat merujuk.

Berus remos si rambut karan,
Turun ke mata selak pandangan;
Amos Amyos disebut gelaran,
Anggun jelita kakak kesayangan.

Cuaca Isnin bergema sinaran,
Cantik pelangi di pagi berawan;
Abu Anissa Ibnu Nin nama samaran,
Adik ku ini tinggi pengetahuan.

Mengkelan taucu mengkelan selera,
Betik berbuah susah dipegang;
Panggilan Ucu panggilan semesra,
Adikku Rudziah tak pernah berenggang.

Berdesing nyamuk menyambar isi,
Termakan abu sampai tercucuh;
Kucing ku gemuk digelar Messi,
Wakilkan ibu sebagai pengasuh.

Mentari petang langit melawa,
Mentari merajah bertemu awan;
Memori datang mencuit jiwa,
Memori menerjah hatiku rawan.

Senyum makrifat jejaka berselepang,
Tampil ranggi rambut di dahi,
Jemu bersila rebah di paha;
Belum sempat mata memandang,
 Nabil 'pergi' dijemput Ilahi,
Ibu merela abah meredha.

Mayang kecil masak separuh,
Tingginya buah di pangkal tua;
Sayang Nabil anak ku asuh,
Perginya Arwah tinggal semua.

Sirih pegaga bersusun sepuluh,
Sirih rangup berkedut seribu;
Kasih keluarga walaupun jauh,
Kasih termaktub di sudut qolbu.

Sarang angsa beralas kiambang,
Redah merpati ke pohon rimbun;
Sebarang bahasa berkias sumbang,
Serendah hati ku mohon ampun.

Atas batu itik menggigil,
Todak mati celah-celahan;
Menggalas waktu detik memanggil,
Hendak berhenti tertahan-tahan.




Dalam kehidupan ini, banyak yang Ummi sayang , tak ketinggalan para sahabat yang peramah dan budiman yang sudi hadir di sini berpantun bersama Ummi...terimakasih kalungan bunga ribuan selasih buat anda semua.....marilah kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah anak asuhan Ummi iaitu Mohd Nabil bin Mohd Azam yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah di waktu usia yang muda kerana Allah lebih sayangkan beliau.iaitu pada hari Jumaat yang lepas 25hb Oktober 2013 bersamaan 20 Zulhijjah 1434....Al Fatihah...



Serkup tupai kuini bergoyang ,
Jatuh debunga setandan pinang;
Tempuh dunia tabah dan tenang.

Suami menanti selasih subur,
Membelah kelapa bulat dan tua;
Demi meniti kasih yang luhur,
Janganlah lupa solat dan doa.

Kukup rendah bumi meruntun,
Cuaca membelah mentari pagi;
Cukup sudah Ummi berpantun,
InsyaAllah ku kembali lagi.





Kalam berpena......

UmmiAin


Viewing all articles
Browse latest Browse all 117