Malam kenangan anikaragam,
Malam berlagu ada berdoa;
Di dalam tangan ku buka genggam,
Salam merindu kepada semua.
Tepi perahu mencekau berudu,
Berudu melantun melata-lata;
Hati dah tahu dikau merindu,
Rindu berpantun jauh di mata.
Parutlah kelapa madu tualang,
Keropok dijamu ada perasa;
Disebutlah apa rindu berulang,
Untuk bertemu tiada terasa.
Assalamu'alaikum duhai sahabat yang Ummi hormati....pasti ada yang tengah merindui untuk berpantun-pantun dan seterusnya menanti apakah entri Ummi seterusnya...Sepohon kemaafan dari Ummi kerana banyak perkara yang Ummi harus selesaikan...maklumlah ye, suri rumah tangga sepenuh masa, komitmen terhadap keluarga dan tugas serta tanggungjawab terhadap ibu nan seorang di kampung...kini...ya, daku sudah kembali....diharap rakan-rakan pemantun tidak melupai akan janji.....dan Ummi berdoa semoga semuanya sentiasa di dalam kasih sayang Allah SWT....amin...
Sebelum Ummi meneruskan lagi, marilah kita siramkan sepohon doa dan Al Fatihah buat Arwah Ayahanda Ummi, Haji Baharom bin Haji Mad Hassan dan semua ayah-ayah yang telah tiada, semoga roh beliau dan mereka-mereka sentiasa dirahmati dan diberkati serta digolongkan bersama para Mukminin.....amin.....Yaa Rabbal'Alamin... Terimakasih.
Jom kita berpantun mengenai tema ayah, bapa, abah, abi, walid dan sebagainya......inilah individu yang paling kita sanjungi dan hurmati serta sayangi.......
Kelapa dan ubi sudah bercambah,
Bidara delima berdahan besar;
Papa, abi, ayah dan abah,
Semesra nama belahan kembar.
Burung merpati terbang tilayah,
Hinggap gumbira di pohon sena;
Murung di hati terkenang Ayah,
Mengadap pusara ku mohon doa.
Sayang merbah terbiar mati,
Berbulu basah lurut menitis;
Terbayang Abah segar di hati,
Rindu Ayah bersalut tangis.
Dahan mencupu retak di hujung,
Batang terkopak layu membawa;
Beban di bahu hendak di junjung,
Memandang anak selalu ketawa.
Selasih goyah kerana angin,
Di pagar duri mencari peria;
Kasih Ayah pesona lilin,
Membakar diri memberi cahaya.
Isteri berjubah sungguh bergaya,
Putih kuning menggenggam daun;
Memori Ayah penyuluh cahaya,
Kasih meranting bertahun-tahun.
Dada bersirat mulai bernyawa,
Takkan sempat tenggiri mati;
Ayahanda ibarat pelerai jiwa,
Manakan dapat dicari ganti.
Tumbuhlah liar petai di muara,
Masih adakah sebeban pegaga;
Sungguhlah benar pandai bicara,
Kasih Ayah berkorban tenaga.
Pagi cerah berbaju ketat,
Senyum berhias puteri seroja;
Pergi Ayah terlalu cepat,
Belum puas diri bermanja.
Tumbuh peria sama berpayah,
Jerih menunggu harinya terang;
Sungguh dia bernama Ayah,
Kasih beribu dirinya seorang.
Mempelas mati patah berasap,
Beringin menyukat bumi di paya;
Ikhlas dihati Ayah mengharap,
Ingin melihat kami berjaya.
Kelam pekat cuaca berangin,
Langkah lentuk payah digoyang;
Malam Jumaat membaca Yassin,
Sedekah untuk Ayah tersayang.
Jari terluka dibiar sakitan,
Tertujah darah bisa dicakar;
Memori terbuka sesegar ingatan,
Wajah Ayah sentiasa berlegar.
Hujan basah lebat mencurah,
Melodi titisan irama air;
Pesan Ayah terpahat merah,
Menjadi insan nama terukir.
Tersangat manis serlah Mak Gayah,
Memakai kebaya sungguh melawa;
Keringat setitis lelahnya Ayah,
Membelai saya sepenuh jiwa.
Kedut sutera benang bersilau,
Kasa sehelai mari dilipat;
Lembut bicara senang bergurau,
Sentiasa membelai memberi nasihat.
Sirih bertanda sudah diserta,
Lepat dibancuh hendak diniaga;
Kasih ayahanda bernoktah tiada,
Tempat berteduh tonggak keluarga.
Hampas kelodak dikaut bersih,
Kelapa payah di belah rata;
Nafas si anak bertaut benih,
Tanpa Ayah tiadalah kita.
Sepatu besar dara Mak Gayah,
Bersanggul dua tinggi di kepala;
Rindu benar bicara ayah,
Ku simpul doa selagi berhela.
Bisakah lama keli melekat,
Paku berkarat di kolam mati;
Ayah umpama wali keramat,
Kasih bertumpah di dalam hati.
Sudah bersolat diri dijaga,
Harum merafak mekar si sufi;
Ayah ibarat kasturi syurga,
Harum semerbak sukar dinafi.
Tumbuh di pinggir paya berpasir,
Butiran menimbun berkelodak batu;
Bahan mendap muatan banyak;
Berenang si angsa mencari ikan;
Disuruh ukir saya mengukir,
Ukiran pantun tidak ku tentu,
Entahkan sesedap santan berlemak,
Terkurang perasa sudi maafkan.
Ketuk bata martun bergigi,
Takkan cuba memberi paku;
Esok kita berpantun lagi,
Nantikan hamba dientri baru.
Cukuplah sampai di sini duhai teman-teman, seandainya pantun Ummi tiada sesedap bahasa, ku pohonkan sejuta kemaafan...salam sayang sedikit-sedikit, lama-lama nanti jadi bukit.....ye tak.... sampai jumpa lagi ya...
Cenderawasih turun membilang,
Turun rendah tepi jambangan;
Terimakasih pantun berulang,
Pantun terindah jadi kenangan.
Selamat Hari Bapa kepada bapa-bapa sekelian semoga terus menjadi bapa yang mithali dan penyayang.....aminnn :D
Ummi’Ain