Talam sagu kerat berempat,
Diluluh sedap bibir menyudu,
Perahan semua bahan sebati;
Salam seminggu hajat ku dapat,
Sepuluh rangkap berair lagu,
BELAHAN JIWA belahan hati.
Ayam selasih bermain mata,
Mata seperti membelah dunia;
Ku siram kasih berlain cinta,
Cinta sejati Allah Yang Punya.
Bertanam padi di bendang kering,
Berasap-asap padi beralas;
Ku siram budi pandang berpaling,
Tidak ku harap budi dibalas.
Kisah Tun Lanang Datuk Temenggung,
Mulai disebut mencetus tegang;
Susah senang badan menanggung,
Sehelai rambut harus berpegang.
Basah kebaya lama dan jarang,
Kebaya sulam pesona tua;
Usah percaya purnama terang,
Cahaya pinjam gerhana jua.
Tumbuh kepayang celahan kekwa,
Sorok sedikit setangkai melati;
Sungguh ku sayang Belahan Jiwa,
Buruk dan sakit sampai kemati.
Kuntum raya kembang dipetik,
Tanam melati sebelah perahu;
Senyum saya pandangnya cantik,
Di dalam hati Allah yang tahu.
Sudah ku rendam segenggam selasih,
Mengapa mangkal separuh jalan;
Sudah ku tanam ku siram kasih,
Mengapa ditinggal berbulan-bulan.
Laut Merah lautan mati,
Anak laksamana kemudi kapal;
Ikut amarah bisikan hati;
Kelak merana menjadi bebal.
Kalau dasar hampir ke muara,
Sedikit ikan habisnya semua;
Walau besar getir sengsara,
Pahit akan manisnya jua.
Bertanam rotan tepinya jalan ,
Dimasa Subuh ke dinihari;
Sedalam lautan tingginya bulan,
Bisa disentuh dengan jauhari.
Secalit madu terasa mengkelan,
Tembikai sebelah biar berembun;
Sepahit hempedu bisa ditelan,
Andai itulah penawar racun.
Kalau lautan hambar cuaca,
Terkena tempias kemudi muatan;
Kalau intan bertukar kaca,
Bagaimana emas menjadi rotan.
Bagaimana emas menjadi rotan.
Kerlip kejora dipagar bintang,
Pesona terang persada deli;
Nasib pusara hambar dan kontang,
Kerana orang tiada peduli.
Pesona terang persada deli;
Nasib pusara hambar dan kontang,
Kerana orang tiada peduli.
Andai rapat senduduk berdaun,
Takkan merimbun menelan jalan ;
Andai sempat duduk berpantun,
Akan ku pantun berbulan-bulan.
Dahan serawa mati dicucuh,
Dicucuh api gugur ke taman;
Belahan Jiwa hati berbasuh,
Dibasuh suci bercampur iman.
Selangka empat bersusun rusuk,
Tentu derapnya badan tahankan;
Jika berlipat pantun berabuk,
Debu asapnya harap sapukan.
Sekian sahaja pantun yang tak sepertinya dari Ummi buat tatapan rakan-rakan sekelian para pemantun.....semoga pantun Melayu terus menjadi warisan sezaman selama-lamanya.....usah bosan dan usah jemu, usah berulang bicara bahawa anda tidak tahu....malah lebih baik lagi.....warisan seni Melayu amat-amatlah halus dan lembut.....kalau tak percaya cuba ditanya kepada orang-orang lama......
Sampai di sini dahulu Ummi memohon selangkah berundur diri...semoga kita terus berpantun dan jangan pernah jemu...ya ^^....salam sayang teramat manis dari Ummi....
Kalam berpena...
Ummi’Ain