Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Tunggu Sekejap...

$
0
0

Tanam mengkudu di pinggir kebun,
Ditanam suami bawa bersambung;
Salam merindu berair embun,
Salam Ummi berhawa kampung.

Buluh perindu tanam sebatang,
Baru dihinggap puyuh kenari;
Di Subuh syahdu ilham ku datang,
TUNGGU SEKEJAP  ku bubuh entri.


Hamba merayu...



Kucing advanced...


Hanya sekadar sketsa hiburan bukan sindiran.... :D


Kini Ummi datang kembali meng'update'kan teratak yang ditinggalkan segenggam hari...ditentukan dek kesibukan masa namun minat adalah nombor satu....khusus buat sahabat-sahabat@pemantun yang Ummi hormati.  Seperti biasa ya....tema atau tajuk pantun Ummi kali ini adalah tentang sikap atau atitude tunggu sekejap, satu sikap yang ada pada segelintir kita, sikap yang sama seperti suka bertangguh ataupun 'nanti sat na'...bak kata orang utagha...jadi, jom kita berpantun bersama sambil berpesan-pesan buat memeriahkan suasana..... :D



Panggang siakap berapi lampu,
Arang sebatang cari tak jumpa;
Gelanggang berangkap menjadi tumpu,
Sekarang ku bentang mari bersapa.

Sapu mustajab di tangan sengal,
Terkilas sendi temu belahan;
Tunggu sekejap jangan di amal,
Tugas tak jadi ilmu bertahan.

Kerbau katik seminggu lesap,
Cari semalam mati terkapar;
Kalau asyik tunggu sekejap,
Isteri mengidam pasti berlapar.

Hendak berdansa lagu seberang,
Tulang kenit kakinya lima;
Tidak masa menunggu orang,
Hilang seminit ruginya lama.

Kubu perangkap pagar berduri,
Balak menyusur di hutan jawa;
Tunggu sekejap sabarkan diri,
Bertolak ansur relakskan jiwa.

Kera dan tupai meratah tebu,
Nanti mula menyambar mangga;
Disegera tunai perintah ibu,
Pasti pahala berkembar Syurga.

Melagu sedap seruling bambu,
Terpukau aduh suara yang kuat;
Tunggu sekejap memaling ibu,
Kalau disuruh segera dibuat.

Bulu melekap di tangkai selasih,
Selasih berderai di sarang hud-hud;
Tunggu sekejap wahai kekasih,
Kasih ku sampai orang tak sebut.

Dada lelah disapu salap,
Kelat ubat tanda tentunya;
Tiada istilah tunggu sekejap,
Solat tepat pada waktunya.

Patah Seribu lagu disumbang,
Lagunya sedap nyenyak membelai;
Usah ibu ragu dan bimbang,
Tunggu sekejap anak kan sampai.

Satu Rejab bermulalah bulan,
Mari mengingati perjalanan Rasul;
Tunggu sekejap berpadah badan,
Sendiri nanti yang akan sugul.

Bijian peria tanam berkepung,
Kicau kelicap padi dimakan ;
Sajian saya berulam kampung,
Kalau tak sedap sudi maafkan.

Debu asap makin terasa,
Sekali berangin kelabu awan;
Tunggu sekejap di lain masa,
Kembali bermain bertemu tuan.


Baiklah...cukup sampai di sini dahulu buat malam ini dari Ummi...semoga apa yang baik dapat kita timba dan perguna pakai demi kebaikan....yang baik lagi terbaik datangnya dari Allah sementara yang terkurang adalah dari Ummi sendiri....insyaAllah kita akan bersua lagi....tunggu sekejap ya...sambil kita mendengar alunan irama syahdu....^^


Kalam berpena...

UmmiAin


Viewing all articles
Browse latest Browse all 117


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>