....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Istimewa dari Ummi buat sekelian sahabat yang jauh di mata tetap di jiwa ^^,.....Rabu Yang Hilang
Berabu lalang padi kekeringan,
Kekeringan malinja dimakan siput;
Rabu Yang Hilang menjadi kenangan,
Kenangan manja tidakkan luput.
Menghala tempua masih melayang,
Kepak basah berkilau sayap;
Tatkala berdua berkasih sayang,
Tidak berpisah walau sekejap.
Jumaat berzikir lima harakat,
Sampai basah badan berpeluh;
Saat terakhir sama berdekat,
Bagai berpisah tiadakan jauh.
Ikat pandan petai dibawa,
Walau sedikit ada berguna;
Melekat badan berangkai nyawa,
Walau sakit tiada ke mana.
Redah rimba ada sang kera,
Menjejak rotan berbulan-bulan;
Sudah ku cuba tiada selera,
Dedak ku makan tidak tertelan.
Sayang gajah terkena duri,
Tiada sempat meluru ke bendang;
Terbayang wajah di sana mencari,
Tiada kelibat dapat ku pandang..
Kalau terkoyak kuntum kesidang,
Tanam melati di celah pasu;
Walau riak tersenyum pandang,
Dalam hati dapatkah tahu.
Berapi-api jangan disua,
Cimni terang dibawa tangan;
Termimpi-mimpi kenangan berdua,
Kini seorang tiada pasangan.
Berangan tinggi menjadi tuanku,
Sejengkallah jalan diusung pulang;
Pasangan pergi mati dan kaku,
Tinggallah badan menanggung walang.
Pasir jalan kelodak biasa,
Pasak telus di luar telaga;
Air di telan tidak terasa,
Tekak haus biar dahaga.
Padi disesah hancur terbenam,
Mencari pinang disengat belalang;
Mandi tak basah tidur tak terpejam,
Diri terkenang semangat pun hilang.
Ruas tebu tidak berbatang,
Telunjuk jari menanam rotan;
Puas menunggu si dia tak datang,
Merajuk diri dalam kesejukan.
Berzikir-zikir mengharap rahmat,
Rajin ke surau berhari-hari;
Terfikir-fikir setiap saat,
Ingin merantau membawa diri.
Mati puyu dibaham cencaru,
Siakap putih dikerja haruan;
Hati sayu bersulam terharu,
Mengharap kasih bermanja tuan.
Rumah di paya berakit-rakit,
Pandan berasap mengkudu lebat;
Lemah daya semakin sakit,
Badan mengharap rindu terubat.
Hentak lesung lada cik puan,
Gelang patah terkena gigi;
Teratak kosong tiada bertuan,
Akhirnya hilang entah ke mana pergi.
Akhirnya hilang entah ke mana pergi.
Berlari-lari kerbau betina,
Berani helang meratah tali;
Berhari ku cari dikau ke mana,
Kini hilang mungkinkah kembali... :'(
Melayang awan dipuput angin,
Berpasir putih pantai nan lawa;
Sayang haiwan diurut bermain,
Secangkir kasih sampai ke jiwa.
Berpasir putih pantai nan lawa;
Sayang haiwan diurut bermain,
Secangkir kasih sampai ke jiwa.
Kalam berpena...
Ummi’Ain