Quantcast
Channel: JOM KITA BERPANTUN....SILA...O...SILA..
Viewing all articles
Browse latest Browse all 117

Pantun Terindah Buat Ibu, Mama, Ummi, Emak...

$
0
0


Ya Allah..ampunilah bagiku segala dosaku dan juga
dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka
keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku
di masa kecil.....amin..

Kilauan terimakasih buatmu yang ku sayang..

Bertanam kobis kobisnya Cina,
Turun ke bendang menahan bubu;
Salam secebis cebisnya pesona,
Pantun ku dendang pilihan ibu.

Selasih segelas belum berkembar,
Delima Acheh di tepi semak;
Kasih mu jelas seharum mawar,
Terimakasih IBU, MAMA, UMMI dan EMAK.

Assalamu'alaikum buat anda teman berpantun@sahabat yang Ummi sangat hormati....
Entri baru kini sudah membuka gelanggang....ayuh, jom kita berpantun, pantun yang menyentuh hati sanubari buat ibu, mama, ummi dan emak kita yang tercinta lagi dirindui selagi hayat masih ada....doa berpohon semoga mereka-mereka ini sentiasa di dalam kasih sayang Allah swt, dan Ummi juga, aminn.....
Khusus buat ibu, mama, ummi, emak, mummy, dan segala sebutan panggilan buat semua ibu-ibu di dunia, terutamanya pantun khusus buat bonda Ummi Hajjah Che Nen bt Osman yang jauh di mata namun tetap bercahaya namamu di hati anakmu ini......pantun sejambak Ummi rangkaikan.....


Rendam lenga bersama selasih,
Timun dimayang kerabu pauh;
Ku siram bunga bernama kasih,
Berdaun sayang buat ibu yang jauh.

Tumbuh pauh nampak kelicap,
Pelam sepeti di sebelah perahu,
Sungguh jauh tidak terucap,
Di dalam hati Allah Yang Tahu.

Mencari kerabu mencari kicap,
Kicap Tamin sedaplah tentu;
Hari Ibu setiap hari diucap,
Diucap diamin setiaplah waktu.

Beri diambil kapak yang ringan,
Semak pegaga di longkang bata;
Dari sekecil telapak tangan,
Emak menjaga bersengkang mata.

Cenderawasih kepak berasap,
Kuasa kayangan sebutan alam;
Terimakasih tidak terucap,
Jasamu rentangan lautan dalam.

Ruasnya tebu di tepi semak,
Patah dibawa meniti kebun;
Ikhlasnya ibu mama ummi dan emak,
Betahlah jiwa pasti terampun.

Selasih segenggam ditabur-tabur,
Selasih dibancuh rasalah hangat;
Kasih bersulam luhur dan subur,
Kasih sungguh berlelah keringat;

Masih kelabu sekerat pelangi,
Harapnya apa tinggi kejora;
Kasih ibu ibarat setanggi,
Berasapnya dupa wangi membara.

Irama tempua sedihnya cuma,
Buah ketapang dicari makan;
Sama jua kasihnya mama,
Tangan berdepang memberi pelukan .

Kelam iklim paginya merah,
Tepi jerami mayang berasap;
Dalam rahim berkongsinya darah,
Lelahnya ummi tiada terungkap.

Sampai kecut sibuah mencupu,
Batang kembang berlaga kedangsa;
Andai dituntut lelah si ibu,
Ditatang ditimang hingga dewasa.

Selisih peniti terlebih buka,
Kainnya chiffon belahan segi;
Kasih sejati kasih mereka,
Sedingin embun titisan pagi.

Sireh ditempek daun terenak,
Gambir sebuku pahit lempoyang;
Masih lembek bubun si anak,
Berzikir si ibu mengulit sayang.

Memukat gelama berselang tongsan,
Belida mati naik kelisa;
Nasihat mama berbilang pesan,
Nanda pasti baik bahasa.

Pedihnya dada dihentak kapak,
Retak selangka tulang terasa;
Kasihnya bonda masih tak nampak,
Anak durhaka bergalang dosa.

Besar muara selisih selangat,
Kerikil cetek karang selonggok;
Kasar suara kasih tak ingat,
Kecil menetek sekarang mengamuk.

Sagu rumbia berkelapa pandan,
Masaknya semua tunggu seorang;
Lagu nostalgia dilupa jangan,
Ibaratnya tua ibu di seberang.

Kejung sawa tanda menanti,
Hala ke reban mencekau itik;
Di hujung nyawa tiada berhenti,
Rela berkorban walau sedetik.

Makanlah kari plata dan kerabu,
Sedapnya kari bersudip besi;
Bukanlah sehari Harinya Ibu,
Setiapnya hari wajib diingati.

Kuah petis dikata lemak,
Pelam dimakan udang diusyar,
Tumpah setitis airmata emak,
Sedalam lautan di Padang Mahsyar.

Kolah telaga nampak tepinya,
Se ela dekat arah ke titi;
Adalah Syurga di telapak kakinya,
Rela dan taat pasrah berbakti.

Kering manis buah pulasan,
Tinggi redup rambutan seribu;
Sering menangis luah perasaan,
Hati sayup teringatkan ibu.

Bersih semak cucuhnya lalang,
Pekat hapak berlama-lama; 
Kasih emak basuh tak hilang,
Lekat di anak selama-lama.

Pilih jerami hendakkan antah,
Halau merbah helang dah sedia;
Kasih ummi tidak bernokhtah,
Walau sudah hilang di dunia.

Mula hujan membawa mega,
Tinggi gayat bermendung awan;
Rela berkorban nyawa tenaga,
Selagi hayat dikandung badan.

Kaup abu terbungkang bata,
Tangga retak galah dibawa;
Sanggup ibu bersengkang mata,
Menjaga anak lelah bernyawa.

Pantai Dalam indah pesona,
Minum madu bersulam kudapan;
Andai terbungkam gundah gulana,
Senyum ibu dalam tangisan.

Seekor undan disesah sawa,
Di gua Sibu merata lipan;
Hancur badan berpisah nyawa,
Doa ibu pelita kehidupan.

Sayang serindit disengat pari,
Letih mendayu terbiar mati;
Wang ringgit dapat dicari,
Kasih ibu sukar diganti.

Tumbuh tegak mangganya amboi,
Bercabang seribu letih si tupai;
Sepuluh anak dijaganya dodoi,
Seorang ibu masih dipertikai.

Hilanglah pucuk kecut delima,
Merah sebelah retak dialih;
Alangkah sejuk perut si mama,
Anugerah Allah anak yang soleh.

Putih lawa harum menyerlah,
Melati ditanam segar cuaca;
Letih membawa senyum di wajah,
Hati di dalam sukar dibaca.

Andai memilih cereka lama,
Hargailah erti lagenda warisan;
Andai kasih mereka percuma.
Jagailah hati bonda berpesan.

Indah padi nampak belaka,
Tumbuh sayup di bendang desa;
Usahl jadi sianak durhaka,
Lumpuh hidup bersandang dosa.

Makan kerabu bersama ulaman,
Papaya disaji peria kelat;
Pesan ibu menjadi pedoman,
Bahagia diri dunia akhirat.

Tumbuh peria di celah pintu,
Tangga retak sinki berdebu;
Sungguh DIA telah menentu,
Syurga ditelapak kaki ibu.

Santun Melayu tak lapuk hawa,
Sopan indah maraklah bicara;
Pantun Ibu menusuk jiwa,
Beban lelah tidaklah terkira.

Ambil camca ambilkan tepung,
Tepung ubi kelatlah rasa,
Senduk berdebu tumpi berlemak;
Sambil membaca sambil merenung,
Merenung diri berbuatkah jasa.
Untuk ibu mama ummi dan emak.

Pantai terdekat muara tempias,
Di Subuh hari bangun bersolat;
Andai terdapat bicara lepas,
Sepuluh jari ku susun rapat.

Buat mu ibu, mama, ummi, emak dan segala apa panggilan sekali pun, jasamu bagai air sungai yang mengalir tanpa henti.....ingatlah duhai insan yang bernama anak, kenanglah ibu kita....termasuk Ummi, walau kita berjauhan badan di mata tak nampak.....doa merimbun buatmu......amin....

Sampai di sini dulu dari Ummi, sebenarnya banyak lagi yang hendak Ummi rangkaikan namun cukuplah setakat berasam garam berair dalam, yang terbaik adalah dariNYA dan yang terkurang dari hamba yang serba kurang.......terimalah sejambak mawar putih untuk Mak....


Pekan Cina berjual lemuju,
Silalah anda menanda peti;
Asalkan warna tertinggal di baju,
Janganlah ada kepada hati.

Turun hampir ke dahan mengkudu,
Mengkudu hutan tanam seminggu;
Pantun berair basahan madu,
Madu dimakan berulam lagu.


p/s Jom Kita Berpantun...sila..oo..sila... =D


Kalam berpena.....

UmmiAin


Viewing all articles
Browse latest Browse all 117


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>